Salam sejahtera saudara pembaca semuga sentiasa mendapat Taufik & Hidayah Allah.
Selepas memahami pengertian Manusia & Tuhan dari kacamata Ilmu Hakikat, marilah pula kita muzakarahkan perkara seterusnya yang wajar iaitu pemahaman tentang apa yang dikatakan IMAN, TAUHID, TASDIQ & IKTIKAD. Kesemua fahaman ini dilihat dari kacamata Ilmu Hakikat......Selamat membaca.
Fakir Abdillah.
..................................................................................
TAUHID HAKIKAT
TAUHID , IMAN , TASDIQ & IQTIKAD
TAUHID itu berkaitan dengan apa yang dikatakan PERCAYA dan KEPERCAYAAN.
PERCAYA
PERCAYA maksudnya mengakui benar atau kebenaran sesuatu perkara atau sesuatu hal itu termasuk mengakui benar akan perkara perkara yang tidak benar atau perkara perkara yang hanya dianggap sebagai benar.
Contohnya mempercayai bahawa jin itu bertanduk sedangkan orang yang percaya itu belum pernah melihat jin. Itulah yang dikatakan KEPERCAYAAN. Bila sesuatu perkara itu akhirnya dibuktikan tidak benar maka dikatakanlah sebagai TIDAK LAGI PERCAYA.
PERCAYA TAHAP TINGGI – IMAN & TAUHID
Oleh kerana banyak sangat yang dipercayai oleh manusia itu termasuk perkara perkara yng tidak benar dan yang diragui kebenarannya, maka diadakan perkataan perkataan lain yang mempunyai maksud yang sama dengan maksud PERCAYA itu khasnya yang berkaitan dengan perkara perkara yang manusia anggap sebagai SUCI.
Dalam hal ini ianya tidak lagi termasuk perkara perkara yang dianggap benar. Semua yang dipercayai berkaitan yang suci itu diakui kebenarannya secara sepenuhnya. Pengakuan akan kebenaran kebenaran ini telah NAIK TAHAPNYA dan disebut sebagai IMAN & TAUHID.
IMAN
Perkataan IMAN itu digunakan untuk menjelaskan apa apa yang diakui benar berkaitan HAL HAL KEAGAMAAN. Iman juga disebut sebagai YAKIN dan KEYAKINAN.
Selalunya ianya berkaitan dengan perkara perkara YANG GHAIB . GHAIB maknanya perkara perkara itu dirasakan WUJUDNYA tetapi tidak dapat dilihat akan ADA-NYA atau KEWUJUDANNYA. Adanya diketahui dan dirasakan berkaitan dengan kesan kesan adanya sesuatu perkara itu. Kesan kesan itu tidaklah lagi ghaib tetapi boleh dilihat akan adanya dengan mata kepala atau dirasakan oleh lain lain pancaindera..
Perkara perkara pokok berkaitan dengan apa yang diakui benar dalam satu satu agama itu dikumpulkan dalam satu BAB dan bila telah dikumpulkan disebut sebagai RUKUN atau COMMANDMENTS.
Didalam Islam ada 6 perkara perkara ghaib yang diakui benar oleh penganutnya. Ke-enam-enam perkara ini semuanya ghaib. Walaupun sasaorang muslim itu tidak pernah melihat akan keenam enam perkara ghaib itu, dia percaya akan wujudnya serta mengakui perkara itu benar dan sah kebenarannya. Ini dipanggil oleh orang Islam sebagai RUKUN IMAN.
TAUHID
TAUHID adalah percaya berkaitan satu hal sahaja iaitu Percaya Kepada Wujudnya Tuhan dan kepada semua perkara perkara yang berkaitan dengan Tuhan itu.
Ianya berbeza dengan percaya kerana kepercayaan yang ini adalah kepercayaan yang penuh tanpa ada belah-bahaginya sedikitpun. Maksudnya tiada langsung unsur unsur tidak percaya. Maka disebutlah sebagai PERCAYA PENUH.
Bila penuh tiada sedikitpun ruang yang berbaki untuk diisi lagi. Jika ditambah lagi ianya tumpah untuk mengekalkan kepenuhan itu. Jadi ianya tetap penuh iaitu penuh yang kekal. Tidak akan ada kurangnya dalam apa apa pun keadaan.
Sebenarnya TAUHID itu lebeh khusus dari apa yang dikatakan diatas kerana ianya berasal dari perkataan AHAD. Ahad dalam Bahasa Melayu diertikan sebagai SATU.
Maka hari yang pertama dalam seminggu itu disebut sebagai HARI AHAD. Kalau dihalusi Hari Ahad itu bukanlah satu tetapi meliputi waktu 24 jam atau 1,440 minit atau 86,400 saat. Jika kurang dari 24 jam tidaklah dikatakan satu hari dan kalau 12 jam sahaja dikatakan sebagai setengah hari. Yang demikian yang dikatakan satu hari itu MELIPUTI 24 jam atau 1,440 minit atau 86,400 saat.
Begitu jugalah halnya dengan TAUHID. Ianya bukan percaya kepada Tuhan Yang Satu tetapi mempercayai akan TUHAN YANG MELIPUTI iaitu TUHAN YANG ESA.
Atau kita katakan bahawa TAUHID itu mempercayai dengan ertikata PERCAYA SEPENUHNYA berkaitan KE-ESAAN ALLAH. Hanya dalam agama Islam sahaja ada perkara dan perkataan TAUHID. Dalam agama lain tidak ada. Ini adalah kerana mereka percaya kepada tuhan tuhan yang banyak.
Yang demikian TAUHID itu ialah MENG-ESAKAN ALLAH bukan mempercayai Tuhan itu SATU.
Apakah erti sebenar MENG-ESAKAN ALLAH itu ?
Bersambung……..
Tajuk tajuk seterusnya :-
- Tasdiq & Iqtikad
- Perbezaan fahaman antara Feqah & Ilmu Hakikat berkaitan Tauhid dan Iman
- Tahap Tahap Iman
- Tahap Tahap Tauhid
- Nafi & Isbat
- Sifat Sifat 20 Allah & Sifat Sifat DIRI kita.
Pesanan kepada pembaca….
Apa yang ditulis dalam entri ini merupakan fahaman dan pandangan peribadi penulis asal Manuskrip Pengantar Ilmu Hakikat. Apakah Hakikat Anda Itu ? karangan Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi.
Pembaca tidak seharusnya percaya atau mempercayainya tanpa mengkaji dan menghalusinya terlebih dahulu.
Pembaca adalah dialu-alukan memberi pendapat, komen dan kritikan atau mengemukakan pertanyaan untuk disampaikan kepada penulis asal manuskrip ini.
Selamat membaca,
Fakir Abdillah.
Posted today Rabu 12/05/10
Tiada ulasan:
Catat Ulasan