Sabtu, 29 Mei 2010

HIDUP DIDUNIA BERPANDUKAN D-U-N-I-A....Alfakirabdillahabdullah Al-Gemasi


Salam Sejahtera pembaca yang di Rahmati Allah,

Entri Interlude Ketiga ini fakir petik dari Manuskrip bertajuk PENGANTAR ILMU YANG DIWARISKAN karangan Alfakir Abdillah Al-Gemasi untuk pembacaan dan renungan semua pembaca yang berminat.

Fakirabdillah.

………………………………………………………………………………………..

Alhamdulillah salah saorang yang aku anggap sebagai guruku saorang hamba Allah yang aku panggil Pak Cik Raja Muhammad ( Arwah ) telah berkesempatan bermuzakarah dengan Bapak Buya Hamka ( Arwah ) salah saorang ulamak Nusantara yang terkenal.

Mengikut Pakcik Raja , BUYA telah memberi PANDUAN kepadanya mengenai cara menjalani kehidupan yang baik didunia ini juga untuk kehidupan sempurna di Akhirat nanti.

Kata Kata BUYA HAMKA :-

Oleh kerana kita masih hidup didunia ini, maka kita hendaklah menjalani hidup berpandukan EJAAN KALIMAH DUNIA itu sendiri yaitu DAL – NUN- YA dan ALIF.

DAL………


DAL ialah DINAR. Jika di Malaysia wang Ringgit, di Indonesia Rupiah. Memang benar untuk menikmati hidup, kita perlu dinar. Banyak dinar kita banyaklah barangan dan perkhidmatan yang dapat dibeli dan hidup menjadi bertambah mudah dan selesa.

Firman Allah :-

Maka nikmatilah olehmu dunia dan negeri akhirat yang telah dianugerahkan kepadamu…

Untuk menikmati hidup di-dunia kita perlu ada dinar. Untuk menikmati hidup akhirat kita janganlah terlalu leka oleh hal dunia hingga lupa menjalankan ibadah dan terlupa mendalami ilmu agama lebih lebih lagi Ilmu Ketuhanan.

NUN

NUN ialah NAFSU mengikut Buya Hamka. Nafsu ialah kehendak atau keinginan yang diwujudkan Allah didalam hati kita. Nafsu yang ditegah ialah kehendak yang berlebihan dan kehendak kepada perkara yang memudaratkan diri dan orang lain iaitu yang berkaitan dengan HAWA kepada Nafsu itu. Hawa itu panas. Panas itu membakar dan memusnahkan jika ianya menjadi api.

Rumusannya ialah kita perlu ada keinginan dan kehendak yang baik baik yang tidak mendatangkan mudarat kepada diri kita dan kepada orang lain.

Nafsu hendaklah dikawal dan diselia tetapi tidak perlu dimusnahkan. Boleh ke kita musnahkan kehendak sedangkan Allah Maha Berkehendak ? Orang yang tiada kehendak ialah orang yang sudah mati.

Kemajuan dunia ini jelas dicapai kerana manusia itu masih terus bernafsu atau berkehendak. Kehendak kepada perkara perkara yang mendatangkan faedah sudah tentu menjadikan hidup lebih bermakna.

YA

YA mengikut Buya bermaksud YAKIN iaitu YA yang bertitik. Keyakinan mendatangkan kekuatan dan perjuangan. Tidak akan berjaya sesuatu usaha jika kita tidak ada keyakinan. Kita tidak akan jadi muslim jika kita tidak yakin akan kewujudan dan kekayaan Allah.

Maka hendaklah kita jalani hidup ini dengan penuh keyakinan. Yakin pada diri sendiri, kebolehan sendiri, kepada orang lain dan yang paling penting yakin akan Kekuasaan dan Kekayaan Allah. Yakin sapenuhnya kepada apa yang kita yakin. Yakin itu hendaklah dihalakan kepada perkara dan benda yang positif dan bukan yang negatif.

ALIF

ALIF dimaksudkan oleh Buya sebagai IMAN. ALIF juga dimaksudkan sebagai ILMU, IQTIKAD, IKHTIAR, ILHAM , ISLAM dan yang paling penting ALLAH.

Perkataan DUNIA ( dal-nun-ya –alif ) hanya disebut sebagai DUNIA jika disimpulkan oleh huruf ALIF dihujungnya. Yanpa Alif tidak jadi dunia ..jadilah ianya deni atau denai sahaja. Jadi ALIF-lah yang memberi makna sepenuhnya. ALIF-lah pembimbing dan PENENTU kepada dal-nun-ya.

Hidup hendaklah beriman. Iman itu khusus untuk agama. Iman itu ialah keyakinan yang tidak berbelah bahagi. Yakin itu pula percaya – betul betul percaya. Maka beriman sasaorang Islam maknanya beriman kepada kepercayaan serta keyakinan yang padu kepada Ajaran Allah yang disampaikan oleh RasulNya.

Iman itu pula bermacam-macam peringkat tertakluk kepada caranya ia datang dan menetap dihati kita.

Ada orang beriman kerana mengikut orang lain tanpa faham, berfikir atau belajar mengenai apa yang diyakininya. Jadilah orang itu orang IKUTILIMAN atau IKUTILYAKIN.

Ada orang bertambah imannya apabila bertambah ilmunya. Maka dikatakan iman orang itu bertaraf ILMUYAKIN atau ILMUIMAN.

Iman atau Yakin yang paling tinggi tahapnya mengikut alim ulamak ialah HAQQULYAKIN iaitu satu bentuk keyakinan yang didatangkan Allah kepada hati sasaorang itu.

IMAN jadi kukuh dan kuat jika kita FAHAM BETUL BETUL dan sejelas mungkin dengan BUKTI yang terang mengenai apa apa perkara yang kita yakini. Faham ialah TAHU – yakni benar benar tahu. Ianya hanya boleh dicapai dengan BELAJAR dan apa yang dipelajari itu dikatakan PENGETAHUAN. Pengetahuan yang DIAMALKAN itu dikatakan sebagai ILMU.

Maksudnya FAHAM itu ialah dengan ILMU dan bukannya dengan TAHU.

Wahai diriku dan saudaraku dan keturunanku , belajarlah olehmu Ilmu Agama Islam dengan bersungguh-sungguh meliputi segala aspek dan bidang yakni SYARIAT-TARIKAT-HAKIKAT – MAKRIFAT yakni ILMU KETUHANAN.

Janganlah IMAN-mu hanya ditahap IKUTIL-IMAN.

Ingatlah POKOK AGAMA ITU IMAN. Iman pula berkaitan dengan TAUHID. Tauhid itu berkaitan dengan TUHAN yang menamakan DiriNya sebagai ALLAH. Iany a POKOK kepada Iman. Manakah akan ada buah jika tiada pokok ?

Maka dalamilah olehmu ILMU TAUHID yakni ILMU KETUHANAN. Pedulikan larangan orang lain yang melarang kamu mempelajarinya.

Janganlah kamu terperdaya dengan DAKYAH yang mengatakan bahawa ilmu agama tidak perlu didalami – takut sesat….takut gila isim. Tanyakan kepada mereka bagaimanakah saorang doktor boleh membedahkan orang jika tidak dalam ilmunya ?

Kalau doktor kena belajar ilmu kedoktoran secara mendalam barulah boleh membedah orang, kenapakah dilarang pula mendalami ilmu agama ?

Orang selalu mengatakan belajar agama melalui kitab atau buku itu berguru kepada Syaitan. Bolehkah otak dan pengalaman kamun mengatakan bahawa kenyataan orang itu benar ?

Berapa ramai cerdikpandai lahir akibat membaca buku. Bolehkah kamu lulus universiti jika tidak membaca buku ?

Tanyakan juga kepada mereka yang JUMUD itu, bagaimanakah ilmu agama ulamak ulamak dapat disebarkan kepelusuk dunia jika tiada buku ?

Janganlah kita ikut cakap orang secara bulat bulat walaupun orang itu dikatakan ustaz, ulamak atau orang alim. Fikirkan dan kaji dahulu –baca Al-Quran..lepas itu barulah terima atau tidak atau dalam istilah agama ..JANGAN BERTAKLID.

Keyakinan yang diperolehi melalui Ilmu dan Amalan atau Ibadah mengwujudkan tahap keyakinan kepada Allah yang tinggi tahapnya. Ianya dikatakan sebagai IQTIKAD. Ulamak mengatakan IQTIKAD terhasil akibat KETERPADUAN 4 cabang ilmu agama yang disebutkan sebelum ini.

Mengenai tafsiran ALIF yang lain lain, wahai saudaraku dan keturunanku, gunakanlah akal fikiranmu sebagai PANDUAN kamu untuk menikmati hidup didunia ini berpandukan DAN-NUN-YA-ALIF . Ingatlah PESANAN ALLAH – Hidup didunia ini hendaklah dinikmati mengikut garisan sempadan yang ditentukanNya.

Kepada Allah-lah dikembalikan segala persoalan.

Fakirabdillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan