Jumaat, 23 November 2012

TULISAN PARA SAHABAT - Adnan Dahalan


SIFAT DUA PULUH - Bahagian SATU..
By Adnan Dahalan
SIFAT DUA PULUH

Apakah maksud sifat dua puluh ?

Sifat dua puluh adalah satu konsep ilmu yang ciptaannya sangat ajaib, didalam mentafsir kaedah mengenal Allah melalui ilmu makrifat. 

Sifat 20 dicipta oleh ilham para sufi dan para aulia' terdahulu, bagi tujuan mengajar kita menuju jalan mengenal Allah.  Barang siapa mempelajari sifat 20 dengan bersungguh-sungguh, berserta faham akan maksud dan makna yang tersirat, InsyaAllah ia akan dapat mengenal Allah swt dengan nyata dan terang. Banyak cabang ilmu dan banyak kaedah pembelajaran yang telah didedahkan melalui kitab, melalui pondok, melalui sekolah dan tidak kurang pula melalui guru-guru agama. 

Semua itu bertujuan bagi mencari jalan, mencari cara dan mencari kaedah untuk mengenal Allah.  Diantara banyak-banyak cara dan diantara banyak-banyak kaedah, cara dan kaedah terbaik bagi mengenal Allah swt adalah dengan mempelajari sifat 20.

Allah tidak akan dapat dikenal melalui mata zahir, ianya dapat dikenal melalui mata hati dengan mempelajari  sifat-sifatnya.  Tidak ada jalan, tidak ada cara dan tidak ada kaedah lain untuk mengenal Allah, melainkan melalui ilmu mengenal sifat-sifatNya.  Hanya melalui sifat-sifatNya sahaja yang membolehkan kita mengenal Allah Ta'ala.  Andaikata adanya jalan lain, selain dari kaedah itu, ternyata ianya adalah dusta yang teramat besar.

ADAKAH ALLAH LAYAK UNTUK DISIFAT-SIFATKAN ?

Sebelum sifat 20 diperjelaskan, suka dingatkan disini bahawa, Allah sebenarnya tidak bersifat dan Allah sebenarnya tidak boleh disifatkan. Seandainya Allah bersifat bererti Allah itu boleh di kualiti dan boleh dikuantitikan.  Sedangkan Allah tidak berbilang, tidak berkualiti dan tidak berkuantiti.  Maha suci Allah dari sifat berbilang-bilang yang menyerupai sifat makhloknya. Allah tidak boleh dipersifatkan.

Allah itu sangat tinggi, sangat jauh, lebih tinggi dan lebih jauh dari kedudukanNya.  Hingga tidak sampi akal untuk mengkajiNya.  Allah tidak terhad dan Allah tidak terbatas, sedangkan akal kita amat terhad dan amat terbatas. Allah tidak ada awal, dan tidak ada akhirnya.  Tidak mungkin tercapai oleh akal untuk menjangkaunya.

Mana mungkin Allah bersifat, Allah adalah suatu zat yang bukan Ain ( bukan benda ). Allah bukan barang, dan Allah bukan sesuatu. Allah adalah perkara yang tidak boleh disifatkan.  Sifat yang disifatkan dan sifat yang dinyatakan itu adalah semata-mata thamsil, semata-mata misalan, semata-mata usul, semata-mata perumpamaan dan semata-mata sekadar contoh bagi mempermudahkan faham

APAKAH ASAS SIFAT 20 ?

Sifat 20 berasaskan kepada 4 perkara ;

1). Zat.   ( roh )
2). Sifat. ( rupa )
3). Afa'al  ( perangai-perbuatan )
4. Asma'  ( nama )

APAKAH SIFAT ALLAH YANG 20 ITU ?

1.  Ujud  = Ada
2.  Qidam  = sedia
3.  Baqa'   = kekal
4. Mukholafatuhu lilhawadis   = bersalahan dengan yang baharu
5. Qiamuhu binafsih   = berdiri sendiri
6. Wahdaniah   = esa
7. Qudrat   = kuasa
8. Irodat   = menghendaki
9. Ilmu   = mengetahui
10.  Hayat   = hidup
11.  Sama'  = mendengar
12. Basor   = melihat
13. Kalam  = berkata-kata
14. Qodirun  = maha berkuasa
15. Muridun  = maha menghendaki
16. Alimun  = maha mengetahui
17. Hayyun  = maha hidup
18. Sami'un  = maha mendengar
19. Basirun  = maha melihat
20. Muutakallimun  = maha berkata-kata

20 sifat Allah itu terbahagi kepada berapa bahagian ?

20 sifat-sifat Allah terbahagi kepada 4 bahagian.

1. Bahagian sifat Nafsiah
2. Bahagian sifat ma'ani
3. Bahagian sifat ma'nawiah
4. Bahagian sifat salbiah

Bahagian yang empat inilah yang dikatakan menjadi intipati dan isi kepada ilmu mengenal Allah. 4 bahagian inilah nantinya yang akan mengupas dan yang akan menterjemahkan sifat 20. Barang siapa yang berhajat untuk mengenal Allah, perlu diambil perhatian kepada ke empat-empat bahagian tersebut.

SIFAT NAFSIAH

Apakah sifat yang terkandung dalam nafsiah ?

Sifat yang terkandung didalam nafsiah itu, hanya satu iaitu sifat wujud.  Wujud yang membawa maksud ada.  Adanya Allah itu, meliputi segala yang zahir mahupun yang batin.

Apakah maksud sifat nafsiah (menolak) ?

Sifat nafsiah itu, bermaksud menafikan keujudan yang lain selain Allah.  Hanya Allah sahaja yang ada dan hanya Allah sahaja yang wujud.

Wujudnya Allah itu, adalah ujud yang disertai sekali dengan zat, sifat, afa'al dan asma'Nya.  Zat Allah itu merupakan sifatNya dan sifat Allah itu adalah juga merupakan zatNya.  Zat dengan sifat Allah itu adalah ujud yang terpisah, berpisah, bercerai dan ujud yang tidak berasingan.

Keujudan zat dengan keujudan sifat Allah itu, adalah esa (satu juga pada hakikatnya).  Seumpama sifat ilmu dengan sifat kalam Allah.  Apabila sifatnya bersifat mendengar (sama'), bererti zatnya juga, bersifat berpendengaran (sami'un).  Apabila Allah bersifat melihat (basor), bererti zatNya bersifat berpenglihatan (basirun).  Apabila Allah bersifat kuasa (kudrat), bererti zatNya bersifat kekuasaan (kodirun).  Begitulah seterusnya dengan sifat-sifatnya yang lain.

Sifat Allah itu seumpama sifat angin dengan sifat bergoyang (bertiup).  Apabila kita melihat pokok bergoyang, itu menandakan adanya angin.  Bergoyangnya pokok, adalah bagi menandakan bergoyangnya angin.  Sifat bergoyang itu sebenarnya bukan sifat pokok, yang bergoyang itu sebenarnya adalah sifat angin.  Walau bagaimana pun sifat angin dan sifat bergoyangnya pokok itu, adalah satu sifat yang sama.  Jika tidak ada angin, masakan pokok bergoyang.  Pokok tidak boleh bergoyang dengan sendiri, jika bukan kerana digoyang dan ditiup oleh angin.  Begitulah juga sifat Allah dengan ZatNya, tidak boleh bercerai.

Begitulah juga kaedahnya kita mentafsir sifat 20.  Apabila ianya dirujuk kepada diri.  Barulah kita dapat melihat dan mengenal Allah melaluinya.  Seandainya sifat 20 itu, tidak dirujuk kepada diri, selama itulah kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah.  Dalam memahami sifat nafsiah (nafi) iaitu sifat menafikan, menidakkan, atau sifat menolak.  Kita dikehendaki menidakkan sifat-sifat yang lain selain Allah.  Kita dikehendaki menidakkan kewujudan sifat alam dan sifat diri kita sendiri.  Menidakkan sifat diri kita, supaya ianya menjadi tidak ada dan tidak wujud (binasa).  Cara untuk menidakkan sifat diri kita dan untuk mewujudkan sifat Allah itu, adalah dengan cara, menyerah atau membinasakan diri kepada Allah.

Bilamana sifat telinga telah dipulangkan, ianya akan disambut dengan sifat pendengaran Allah.  Bilamana sifat mata telah binasa, akan disambut dengan sifat penglihatan Allah.  Sifat berfikir, akan disambut dengan ilmu Allah. Selagi sifat mata menjadi sebahagian daripada sifat kita, sudah pasti kita tidak akan dapat melihat Allah melalui pandangan dan penglihatanNya.

Setelah sifat mata kita itu dipulangkan kepada Allah, akan bertukar menjadi sifat basor Allah, barulah sifat penglihatan basirun Allah itu, boleh melalui sifat mata kita.  Bermaknanya disini bahawa, sifat mata yang ada pada kita sekarang ini, tidak boleh dan tidak layak menerima penglihatan Allah melaluinya, melainkan sifat mata makhlok telah binasa dan bertukar kepada sifat wajah Allah.

Maka kita tidak layak untuk menanggung atau menerima sifat penglihatan Allah yang maha tinggi.  Sifat makhlok tidak layak untuk menanggong sifat Allah, melainkan sifat kita itu ditukar milik, supaya menjadi milik Allah, setelah melalui proses penyerahan diri (penyerahan tugas dan penyerahan hak milik) kepada Allah.  Apabila sudah menjadi milik Allah, barulah mata kita itu, dapat melihat melalui penglihatan Allah.  Apabila mata kita itu telah menjadi milik Allah, barulah sifat basirun (penglihatan) Allah itu dapat terpancar melalui mata kita.

Apabila penglihatan Allah sudah menembusi mata kita, dengan sendirinya sifat mata akan binasa.  Mata makhlok akan hangus terbakar,  binasa dan lenyap lantaran dipenuhi oleh cahaya Allah.  Cahaya penglihatan Allah itu sendiri, yang membinasakan sifat mata kita. Hanya Allah sahaja yang dapat menanggung sifat Allah.  Sifat mata kita tidak dapat untuk menanggung sifat penglihatan Allah.

Selagi mata masih bersifat makhlok atau masih menjadi sebahagian dari anggota diri kita, selagi itulah wajah Allah tidak boleh mengambil tempat.  Selagi sifat Allah tidak dapat mengambil tempat, selagi itulah, kita tidak akan dapat mengenal dan melihat Allah melaluinya.  Inilah konsep nafsiah, iaitu konsep menidakkan sifat makhlok supaya dapat menjadikan semuanya bersifat wajah Allah.  Setelah kita berjaya dalam menidakkan, fana' dan leburkan diri kita ke dalam cahaya Allah, maka jadilah telinga kita itu, merupakan pendengaran Allah, jadilah mata kita itu, penglihatan Allah dan sebagainya.

Mata kita tidak layak untuk menanggung penglihatan Allah.  Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ianya merupakan pakaian dan persalinan Allah.  Sifat kita selaku makhlok, tidak layak untuk memakai yang menjadi persalinan Allah.  Seandainya kita terpakai persalinan Allah, cepat-cepatlah bertaubat.

Apabila Allah bersifat basor, Allah juga bersifat basirun. Apabila Allah bersifat qudrat, Allah juga bersifat Qodirun dan sebagainya. Oleh yang demikian bagi yang telah sampi kepada mskam (tahap) makrifat, menjadikan yang dilihat itu, adalah juga yang melihat dan yang melihat itu, adalah juga yang dilihat, yang disembah itu, adalah yang menyembah dan yang menyembah itu, adalah juga yang disembah.  Dengan syarat diri kita telah binasa, mati, lebur, dan karam dalam zuk cahaya wajah Allah.  Walaupun Allah itu bersifat dengan 20 sifat, namun semua 20 sifat itu, adalah esa (satu) juga dalam zatNya.  Walaupun sifat Allah itu banyak, tetapi ia satu dalam zatNya.

Yang menjadikan sifat Allah itu berbilang-bilang adalah dikeranakan khayalan fikiran dan lemahnya sangkaan akal manusia.  Sedangkan pada dasar dan pada hakikatnya, kesemua sifat Allah itu adaslah satu (esa), tidak berbilang-bilang.

Mempelajari, memahami serta mengetahui sifat nafsiah bertujuan memberi peringatan kepada kita bahawa, tidak ada yang berbentuk, melainkan yang berbentuk itu adalah bentuk bagi Allah dan tidak ada yang bersifat, melainkan yang bersifat itu hanya sifat bagi Allah. Tidak ada yang berupa melainkan yang berupa itu adalah rupa bagi Allah.

Di dalam memahami sifat nafsiah, kita dikehendaki menafikan, mematikan, melenyapkan, menghilangkan dan membinasakan semua sifat-sifat yang lain selain dari sifat Allah.  Di peringkat pengajian ilmu sifat nafsiah, kita dikehendaki melihat bahawa hanya Allah sahaja yang ada, ujud, wujud dan maujud.  Keujudan makhlok alam pada peringkat ini belum lagi boleh diletak dalam gambaran fikiran dan belum lagi boleh dibayangkan dalam ciptaan khayalan akal.  Yang ada dan yang ujud pada peringkat sifat nafsiah itu, hanyalah Allah semata-mata.

Sifat nafsiah adalah sifat bagi mengajar kits tentang kewujudan Allah secara mutlak dan secara "wujudiah".  (wujud yang meliputi), meliputi sekslian alam, meliputi sekalian makhlok dan meliputi sekalian diri kita.  Sifat nafsiah dalam wujudiah itu adalah membawa makna keujudan Allah secara mutlak,  secara bersendirian, secara keesaanNya, tanpa adanya lagi yang lain selain Allah.  Seumpama bukan pokok yang bergoyang tetapi yang bergoyang itu adalah angin.  Walaupun kita nampak yang bergoyang itu pokok, didalam kefahaman pengajian ilmu makrifah yang bergoyang itu bukan lagi pokok, sesungguhnya yang bergoyang itu adalah sifat angin. Inilah kedudukan sifat nafsiah dalam tafsiran makrifat.

Di dalam kita belajar sifat nafsiah dalam sifat 20 kita jangan lupa untuk menghubungkaitkan dengan kalimah syahadah.  Pelajaran sifat nafsiah dalam sifat 20, bukan sekadar bertujuan untuk dihafal.  Pelajara sifat nafsiah itu selain bertujuan untuk mengenal sifat Allah melalui sifat 20, ianya juga adalah bertujuan bagi mentafsir kalimah syahdah.  Sifat nafsiah itu, adalah satu kaedah kiasan sahaja.  Tujuan sebenar kiasan sifat nafsiah itu, adalah disasarkan kepada tafsiran dan pemahaman kalimah syahdah.

Sifat nafsiah apabila dikaitkan, diletak atau diterjemahkan pada tafsiran syahadah, ia berada pada kedudukan kalimah "LAA" (iaitu kalimah nafi).  Kalimah nafi adalah kalimah menolak yang lain selain Allah, membinasakan yang lain selain Allah. Kuwujudan sifat-sifat yang lain itu, seumpama bayang cahaya.  Apabila hilang cahaya maka hilanglah bayang.

Apabila kita dapat memahami dan menghayati pengertian isi ilmu nafsiah dalam sifat 20 dengan penuh penghayatan, ianya membuatkan ucapan syahdah kita, benar-benar diterima Allah.

Bagaimana cara ucapan syahdah yang penuh makna ! Adapun ucapan syahdah yang penuh makna itu, adalah dengan melafazkan ungkapan kalimah "Laa" dengan menghilangkan dan membinasakan sifat-sifat yang lain, selain Allah.  Sehingga tidak ada lagi keujudan bulan, bintang, alam, dunia dan keujudan kehidupan diri, melainkan Allahlah yang ujud, wujud dan maujud, pada sekalian wajah alam.

Ucapan perkataan "Laa" adalah tahap ucapan yang tidak ada lagi sesiapa. Tidak ada apa-apa dikiri, dikanan, diatas, dan tidak apa-apa lagi dibawah kita,  melainkan semasa melafazkan kalimah "Laa" kita dikehendaki mengisi keyakinan hati dan mengisi kepercaysan akal, bahawa tidak ada yang lain lagi pada keujudan alam ini, melainkan sekalian yang ada ini, adalah wajah Allah (yang meliputi segalanya).  Itulah diantara tujuan kita mempelajari sifat nafsiah ( sifat 20 )

APAKAH BENTUK SIFAT NAFSIAH ?

Sifat nafsiah adalaj berbentuk "PERKHABARAN", sifat yang hanya ada pada zat Allah dan tidak memberi bekas kepada alam,  sifat nafsiah itu, tidak pula boleh dikualiti dan tidak boleh dikuantitikan.  Adanya Allah adalah ada yang mutlak, ada yang tidak dikeranakan oleh suatu kerana yang lain.

Sifat nafsiah adalah sifat yang mengkhabarkan kepada kita bahawa Allah itu ada, adanya Allah itu melalui perkhabaran yang tidak dapat dipegang atau dirasa dengan tangan, tidak dapat dizahirkan untuk dilihat.  Perkhabaran adalah perkara yang tidak boleh disifatkan, tidak boleh dikualiti atau dikuantitikan.  Ia hanya boleh dirasa dan diyakini oleh hati tanpa usul

BERSAMBUNG........



Tiada ulasan:

Catat Ulasan