.SIFAT DUA PULUH – BAHAGIAN EMPAT ( AKHIR )
By Adnan Dahalan
SIFAT DUA PULUH
SIFAT SALBIAH
Apakah Maksud Sifat
Salbiah ?
Sifat salbiah itu
merujuk kepada kesempurnaan Allah. Kesempurnaan dalam kebesaran,
keagungan, kesucian, ketinggian dan kekuasaanNya dalam segala-galanya.
Lengkap yang tidak ada kurang, gagah yang tidak ada yang lemah, suci yang tidak
ada kotor dan sebagainya. Tiada bandingan dengan selainNya. Inilah
pengertian salbiah.
Andainya ada sifat
yang tinggi, kedudukan Allah itu, adalah lebih tinggi, jika ada sifat yang
halus, kedudukan Allah itu, adalah lebih halus, jika ada sifat yang baik, kedudukan
Allah itu, adalah lebih baik, jika ada sifat yang putih, pastinya kedudukan
Allah itu, lebih putih dan begitulah seterusnya. Inilah yang dikatakan
sifat salbiah iaitu sifat kesempurnaan Allah. Ketiga-tiga sifat nafsiah,
ma'ani dan maknawiyah itu semuanya terkandung didalam sifat salbiah
(kesempurnaan)
Seandainya ada makhlok
yang mendatangkan sebab, sesungguhnya Allahlah yang terlebih dahulu memberi
sebab. Seumpama kita dengar ada orang mati sebab dimakan harimau. Mati
dimakan harimau itu, hanya sekadar menjadi sebab mati atau menjadi punca
mati. Sedangkan punca dari segala punca dan sebab dari segala sebab itu
adalah datangnya daripada Allah. Mati kerana sebab harimau itu adalah sekadar
sebab tetapi yang jadi penyebabnya adalah Allah sendiri. Allahlah menjadi
penyebab dari segala sebab.
Ketetapan Allah itu,
telah mendahului dan mengatasi kejadian makhlok. Inilah yang dikatakan
bahawa sifat salbiah itu, adalah sifat kebesaran dalam kesempurnaan
Allah. Allah itu sempurna dalam segala kejadianNya. Segala apa yang
berlaku atas diri kita ini, adalah datangnya dari ketetapan Allah yang
terbaik. Terbaik untuk kita dan terbaik juga untuk semua
makhlokNya. Kita sebagai makhlok yang berserah diri kepada Allah,
hendaklah terima segala apa yang berlaku itu dengan hati yang terbuka dan
dengan hati yang berterima kasih kepada Allah. Terimalah segala yang
berlaku atas diri kita itu, dengan berlapang dada dan bersyukur, semua yang
terjadi telah mengikut dari apa yang telah tersurat.
Sifat salbiah itu bila
dikaitkan dengan sifat 20, dibahasakan dengan panggilan musabit iaitu punca
dari segala punca dan sebab dari segala sebab. Menyabitkan sesuatu dengan
sesuatu. Sabit ertinya punca dari segala punca dan sebab dari segala
sebab. Berlakunya sesuatu sebab itu adalah datangnya dari punca sebab
(penyebab) itulah yang dikatakan musabit pada sifat 20. Punca dari
sesuatu sebab, pasti datangnya dari penyebab dan musabab dan sabit itu, adalah
dari musabit. Sifat salbiah adalah sifat pada peringkat punca, peringkat
musabab atau peringkat musabab atau peringkat permulaan (musabit).
Sifat Apakah Yang
Terkandung Dalam Salbiah ?
Sifat yang terkandung
di dalam salbiah adalah ;-
1. Wahdaniah
(Esa)
2. Sifat Qodim
ertinya sedia Allah itu tanpa permulaan.
3. Baqo' ertinya
kekal Allah itu tanpa kesudahan
4. Mukholafatuhu
ertinya Allah itu tiada perbandingannya.
5. Qiyamuhu
ertinya berdirinya Allah dengan tiada perlu bantuan.
Kelima-lima sifat
tersebut tidak dimiliki oleh yang lain selain dari Allah. Kesempurnaan
dalam keEsaan Allah (wahdaniah) yang tidak dimiliki oleh selainnya. Allah
bersifat tunggal yang tidak berbilang-bilang pada sifat, perangai, nama atau
pun pada zatNya. Yang berbilang-bilang itu pada wajahnya bukan pada
sifat, perangai (perbuatan), nama arau zatNya.
Kesempurnaan Qodim
atau sedianya Allah itu, dengan tidak ada permulaan, yang tidak dimiliki oleh
sifat makhlok lain selainNya. Alam ini terjadi dengan ada permulaan dan ada
akhirnya. Manakala sempurnaNya Allah itu apabila terjadinya Ia, dengan
tidak ada permulaan. Begitulah seterusnya pada sifat baqo',
mukholafatuhu ta'ala lilhawadis dan qiyamuhu binafsih.
Apakah Bentuk Sifat
Salbiah ?
Salbiah adalah sifat
yang berbentuk perkhabaran, yang mengkhabarkan perihal kesempurnaan,
kebesaran, dan kemuliaan Allah. Sifat ini ada hanya ada pada fikiran dan
sifat ini hanya ada pada zat Allah sahaja. Sifat Allah yang tidak dapat
diukur melalui jauh dekat jaraknya, tidak dapat dianggarkan melalui ukuran
besar kecilnya. Seumpama sifat Qidam (sedia), sedianya Allah Ta'ala itu
dengan tiada permulaan, kita tidak dapat untuk menggambar atau membayangkan
bagaimana mulanya Allah itu terjadi, akal yang diberi Allah pada kita, tidak
dapat untuk mengkaji dan tidak dapat untuk dicerita dan tidak dapat untuk
diperlihatkan secara zahir. Begitu juga dengan sifat baqo' (berkekalan)
Allah Ta'ala itu tiada kesudahan, bentuknya tidak dapat untuk diukur,
tidak boleh untuk disukat dan dianggarkan melalui kenyataan zahir. Di
atas sifat kebesaranNya, kita dikehendaki mempercayainya tanpa usul.
Apakah Peranan Sifat
Salbiah ?
Sifat salbiah
berperanan mengajar kita supaya mengenal erti sifat ketuhanan yang tiada
tandingan , tiada bandingan, tiada seumpama dengan yang lainNya.
Sifat kita sebagai
makhlok ini, tidak sama dengan sifat Allah. Lihat sajalah sifat kebesaran
Allah yang lima itu. Allah difatNya tidak ada permulaan sedangkan kita
ini bersifat baharu, yang ada mula dan akhir. Allah bersifat baqo'
(kekal) sedangkan kita bersifat menerima binasa, Allah bersifat bersalahan
dengan yang baharu dan tidak serupa dengan makhlok kejadiannya, manusia
menggunakan mulut untuk bercakap, telinga untuk mendengar, manakala sifat Allah
tidak ada yang serupa, seumpama dan tidak ada yang sepertiNya. Sifat Allah
yang qodim, tidak sama dengan sifat yang baharu (makhlok)
Allah berdiri dengan
sendiri (qiyamuhu) tidak perlu ada pertolongan benda lain, sedangkan kita hidup
ini memerlukan benda lain untuk menumpang hidup, seumpama anggota perlu kepada
tulang, daging, air dan udara untuk hidup. Apabila sakit kita perlu
kepada ubat, sedangkan Allah Ta'ala tidak memerlukan sokongan sesiapa atau
sokongan dari apa-apa. Allah adalah Esa, satu atau tunggal, yang tidak
ada bilangan, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan.
Manakala manisia perlu
ibu bapa untuk dilahirkan. Sifat Allah tidak sama dan tidak serupa dengan
sifat makhlok. Janganlah sekali-kali kita mengaku yang kita ini Allah
atau kita ini Tuhan. Selagi bernama makhlok dan selagi bernama manusia,
kita tidak boleh mengaku yang kita ini Tuhan. Peranan sifat salbiah
adalah bagi menunjukkan kesempurnaan Allah, yang kesempurnaannya itu tidak ada
tandingan dengan sifat-sifat makhlok. Bagi mereka yang mengenal Allah,
mengenal diri dan bagi mereka yang mendalami sifat salbiah, mereka tidak
sekali-kali mengaku yang dirinya sebagai Tuhan, apa lagi mengadakan sesuatu
patong untuk disembah sebagai tuhan. Bagi mereka yang benar-benar
mengenal Allah dan mengenal diri, pekerjaan seumpama mempertuhankan patung,
tidak akan terlintas dihatinya. Yang mendakwa dirinya tuhan, sesungguhnya
mereka-mereka itu dari golongan yang sesat, yang buta mata hati dan tersangat
buta pula mata zahirnya.
Bagi yang benar-benar
mengenal Allah, nama Allah yang sebenar itu, bukan boleh dilafaz dengan
perkataan. Allah bukan suara dan bukan huruf. Allah bukan
perkataan, samada perkataan aku atau perkataan dia. Tidak ada lagi
perkataan "Allah atau Tuhan", Allah atau Tuhan itu, hanya sekadar
nama. Sedangkan Allah dan Tuhan yang sebenar itu, sifatNya tidak berhuruf
dan tidak bersuara. Allah juga bukan terletak dan tidak tertaklok kepada
nama. Sedangkan Allah itu bersifat di atas segala kesempurnaan.
Jika Allah ada nama untuk di panggil, kesempurnaan Allah itu melebihi,
mengatasi dan mendahului dari panggilan. Allah itu adalah tuan kepada
yang empunya nama itu sendiri. Inilah gambaran kebesaran Allah, yang
hendak disampaikan melalui ilmu salbiah. Panggilan nama atau lafazan Allah dari
bibir mulut seorang yang tidsk mengenal Allah, tidak ubah seumpama lafazan yang
keluar dari mulut orang kafir. Mereka hanya tahu sebut sahaja, sedangkan
hakikat tuan yang empunya nama, sedikit pun mereka tidak tahu dan tidak mereka
kenal.
Allah bukan sekadar
lafazan, ucapan atau sebutan dari bibir dan lidah yang tidak bertulang.
Allah bukan perkara yang berhuruf dan bukan perkara yang bersuara. Allah
yang sebenar itu, bukan sekadar panggilan nama. Allah itu bersifat maha
besar, kesempurnaan besarNya itu, melebihi daripada besarnya panggilan nama.
Allah itu bersifat maha tinggi, kesempurnaan tinggiNya itu, melebihi ketinggian
panggilan nama.
Allah itu maha besar
dari sekadar panggilan. Allah itu bukan sekadar sebutan suara dari bibir
dan Tuhan itu bukan sekadar lafazan dari perkataan lidah. Allah bukan ain
(benda) yang boleh digambar dengan sebutan nama, sebutan huruf atau sebutan
suara. Allah adalah Allah, yang kesempurnaanNya melebihi sekalian
nama. Andainya Allah itu, masih boleh dipanggil dengan suara dan masih
boleh dipanggil dengan nama, bermakna ianya bukan Allah yang sebenar. Inilah
kaedah penyampaian ilmu salbiah, bagi meletakkan kesempurnaan Allah itu,
melebihi dari yang lain.
Peranan salbiah dalam
sifat 20 itu adalah bagi menunjukkan bahawa apabila kita sudah sampi kepada
tahap ini (tahap sifat salbiah), kedudukan keyakinan hati kita hendaklah hanya
semata-mata kepada Allah. Tidak lagi ada basa basi dan tidak lagi
dolak dalih, melainkan segalanya adalah hanya Allah semata-mata. Sifat
yang lain sudah tidak lagi boleh di masuk perkiraan atau bilangan.
Peringkat atau tahap sifat salbiah adalah peringkat yang peranannya hanya
nampak dan lihat kesempurnaan Allah dalam segala hal dan segenap bidang.
Mereka-mereka yang
sampai ke peringkat salbiah, hatinya sudah menjadi mabuk dalam cahaya kesempurnaan
Allah. Sehingga tidak ada lagi makhlok yang hendak dinafi, ditolak,
dibuang, dan tidak ada lagi makhlok yang hendak diisbatkan, diadakan semula,
ditarik balik, dimasuk dan diambil kembali, melainkan yang mereka nampak adalah
hanya Allah. Bagi mereka Allah itu, sudah jelas dan nyata dalam kebesaran
dan kesempurnaanNya.
Peringkat ini adalah
peringkat zuk
Atau pada peringkat
karam. Mereka-mereka yang sampi ke peringkat ini, adalah mereka-mereka
yang jiwanya sudah tergadai dan sudah terjual. Jiwa mereka-mereka ini,
adalah jiwa yang hanya diisi oleh cahaya Allah dan wajah Allah. Di jiwa
mereka sudah penuh dengan cahaya iman, cahaya ihsan. Apabila berkata
mereka itu, katanya merupakan kalam Allah swt. Inilah diantara peranan pemahaman
pelajaran ilmu sifat salbiah. Melihat, mendengar dan sebagainya adalah
dengan penglihatan dan pendengaran Allah.
Jiwa dan raga
mereka-mereka yang sebegini, adalah jiwa dan raga yang tidak lagi berfungsi,
tidak lagi memberi sebarang faedah, jiwa dan raga yang tidak lagi
berupaya. Jiwa mereka seumpama hilang, lenyap dan binasa. Hilang
lenyap diri yang zahir, membawa kepada hilang lenyap pula dirinya yang
batin. Zahir dan batinnya sudah karam didalam lautan wajah kesempurnaan
Allah. Kefahaman sifat salbiah Allah yang lima perkara, telah melimpah
dan menerangi hatinya, yang tidak lagi dapat dikawal oleh anasir
pancaindera. Limpahan kefahaman sifat salbiah, tidak lagi terkawal atau
tifak lagi tertaklok oleh akal. Sirna cahaya wajah ilahi, telah menyinari
dirinya, nur Allah telah membakar dirinya, sehingga dirinya kini, bukan dirinya
yang dahulu. Dirinya kini seumpama sudah mati dan sudah pulang
kerahmatullah dan sedah kembali kepangkuan Allah.
Sesungguhnya jantung
dan nadinya masih berdenyut dan nyawanya pula masih dikandung badan, diri
mereka sebenarnya sudah mati dan sudah terkubur didalam cahaya Allah.
Inilah peranan yang
hendak diketengahkan, diterjemah dan disampaikan oleh sifat salbiah.
Inilah juga ilmu ulamak terdahulu, yang hendak disampaikan kepada kita supaya
difahami dan dimengerti oleh yang berpandangan.
Peranan sifat salbiah
dan peranan sifat-sifat yang lain adalah sekadar hiasan bahasa, sekadar kiasan
dan sekadar perumpamaan semata-mata, sedangkan hati basyirah yang berpandangan
sahaja yang dapat menyelami bahasa yang tersirat disebalik yang tersurat.
Oleh itu renung-renunglah bahasa isyarat dan bahasa kiasan yang dipertontonkan
itu.
Dengan mengenali
bahagian-bahagian sifat 20 yang lima diatas, mudah-mudahan membawa kita kepada
mengenal Allah swt. Inilah lazat, manis, zuk, cantik, mantiq dan
nikmatnya bagi sesiapa yang dapat menyelami dan bagi sesiapa yang mempelajari
bidang ilmu ini. Inilah bidang ilmu makrifat dan ilmu kalam yang
tersembunyi disebalik huruf.
Bagaimana Cara Merujuk
Tafsiran Salbiah Pada Diri Kita?
Sifat salbiah tidak
boleh terzahir pada diri kita, melainkan hanya bagi Allah sahaja sifat
itu. Sifat esa, sedia, kekal adalah sifat Allah yang bersalahan dengan
sifat yang baharu dan Allah berdiri dengan sendirinya. Lima sifat salbiah
itu, adalah sifat Allah yang mutlak bagiNya.
Sifat mutlak bagi kita
pula adalah bersifat banyak dan berbilang-bilang, ada melayu, cina, india,
besar kecil, tua muda, gemuk kurus dan sebagainya. Kita bersifat baharu, ibu
melahirkan kita dan kita pula melahirkan anak, begitulah seterusnya. Kita
bersifat binasa, hidup kita ini tidak kekal dan akan menemui mati juga bila
umur kita sudah tua. Sifat kita bersamaan dengan makhlok lain, kita ada
tangan makhlok lain juga ada tangan. Kita ada kaki makhlok lain juga ada
kaki dan sebagainya. Hidup kita juga bergantung kepada pertolongan sifat
lain, seumpama kaki memerlukan tulang untuk berdiri, hidup memerlukan pula
kepada nyawa, makan perlu melalui mulut dan sebagainya.
Sifat ilmu yang ada
pada kita pula dapat diukur tinggi rendahnya, namun kita tidak dapat untuk
mengukur sifat pemberi ilmu. Kita dapat mengukur pendek atau panjangnya
usia hidup kita, namun kita tidak dapat mengukur sifat pemberi hidup.
Manakala sifat
kebesaran Allah itu tidak dimiliki oleh sekalian makhlok, hanya Allah sahaja
yang memiliki sifat kebesaran, yang melimpah dan meresapi jantung kita.
Limpahan kebesarannya itulah yang ada pada diri kita.
Apabila kita mentelaah
pelajaran sifat salbiah, jangan kita lupa untuk menterjemahkannya pula kepada
diri kita sendiri dan menghubung kaitkannya pula kedalam kalimah syahdah.
Pengajian ilmu ini bukan setakat untuk tahu meletakkan perkatsan Allah pada
tempatnya, yang lebih penting lagi adalah tahu akan maksud Allah dalam sifat salbiah
dan hubungkaitnya dengan kalimah syahdah dan diterjemahkan pula ke atas diri.
Dalam pengajian ilmu
makrifat, konsep kefahaman sifat salbiah, hendaklah sampai kepada tahap penamat
dan tahap penghujung ilmu penyerahan. Seandainya kita masih dapati yang diri
kita ini masih ada, bererti Allah tidak ada dan tidak Esa. Seandainya
pemahaman ilmu kita sampai ketahap salbiah, diri kita ini hendaklah berada
didalam kedudukan tidak ada atau dalam ertikata binasa secara
keseluruhan. Selepas semua makhlok telah dianggap binasa, barulah kita
dapat nampak bahawa Allah itu benar-benar wahdah, qidam, baqo' dan sebagainya.
Dalam ilmu makrifat,
konsep penghayatan ilmu adalah amat penting. Iaitu konsep meletakkan
sifat Allah sesuai pada tempatnya dan membuat perbandingan pula dengan diri
sendiri. Inilah yang dikatakan konsep kefahaman yang berteraskan dan
berasaskan kepada pemahaman dan penghayatan makrifat. Faham apa itu sifat
salbiah dan faham bagaimana hubungkaitnya dengan kalimah syahdah dan faham pula
bagaimana cara untuk meletak dan menterjemahkan keatas diri sendiri.
Sifat 20 didalam salbiah menyatakan yang Allah itu Esa (satu atau tunggal),
manakala jika diterjemahkan kepada diri kita, jadilah diri kita ini sifat yang
berbilang-bilang. Maksud berbilang pula adalah merujuk kepada sifat kaki
tidak sama dengan sifat tangan. Apabila ada mulut ianya tidak sama dengan
sifat telinga. Apabila ada isteri (perempuan) tidak sama dengan sifat
suami (lelaki). Sedanglan EsaNya Allah itu membawa maksud bahawa hayatNya
itu adalah kudratNya dan kudratNya pula adalah hayatNya. Sifat Allah tidak
berbilang-bilang, sifat Allah tidak berpisah dengan zatNya manakala zatNya pula
tidak bercerai dengan sifatNya. Empat sifat (zat, sifat, afa'al dan
asma') itu, sebenarnya adalah satu. Kata-kata Allah (kalam Allah) adalah
juga ilmuNya dan ilmuNya adalah juga kalamNya. Sedangkan kedudukan diri
kita boleh dibahagi-bahagikan mengikut anggota, boleh dibahagi-bahagikan
mengikut nama dan sebagainya.
Semasa melafaskan
kalimah syahadah (kalimah Allah), konsep lima sifat salbiah hendaklah
diterapkan sehingga sampai ketahap pemahaman yang tinggi. Allah itu hendaklah
diterjemah dan dikiaskan (ditafsirkan) kepada diri kita. Apabila
dibalikkan kepada diri, jadilah diri kita ini binasa, benda yang tidak
kekal. Benda yang tidak kekal pada kebiasaannya menemui mati (binasa).
Jika kita tahu yang
diri kita ini bersifat binasa, apabila sudah binasa maknanya diri kita ini
tidak ada ( tidak wujud ), sesudah diri kita tidak ada, barulah sifat ada (sifat
wujud) itu benar-benar menjadi milik Allah yang mutlak. Setelah semuanya
menjadi milik Allah, barulah apa yang kita nampak, pandang dan lihat itu
menjadi rupa paras wajah Allah. Barulah apa yang kita lihat itu
terpandang Allah. Selagi ada sifat makhlok, sifat hakiki Allah akan
tertutup dan terlindung, yang membuatkan kita tidak dapat untuk melihat
wajahnya. Sifat diri yang ada ini hendaklah dikembalikan kepada
Allah. Setelah sifat diri dikembalikan kepada Allah, itulah tandanya kita
telah tahu konsep salbiah. Konsep ilmu salbiah itu, apabila kita sudah
dapat melihat kesempurnaan Allah atas sifat makhlokNya.
"Maka apabila aku
telah mencintai kepadanya, akulah yang menjaga pendengaran yang dengan itu dia
mendengar, penglihatannya yang dengan itu dia melihat, tangannya yang dengan
itu dia memukul dan kakinya yang dengan itu dia berjalan dan bila dia meminta
kepadaku, sesungguhnya aku berikan dan bila ia meminta perlindungan kepadaku
sungguh akan aku lindungi"
TAMAT