Sabtu, 22 Mei 2010

WAHDANIATULLAH.........Muqaddimah



Saudara pembaca yang di Rahmati Allah

Manuskrip Pengantar Ilmu Hakikat melainkan Bab Renungan ( yang sengaja tidak diposkan ) telah selesai diposkan. Bab terakhir mengenai Khusu’ & Lalai telahpun diposkan lebih awal. Sila rujuk ARKIB blog.

Mulai entri in Fakir akan poskan beberapa entri yang diambil dari Manuskrip WAHDANIATULLAH karangan Sheikh Qamarudeen Wahdaniatullah Al-Haj

Adalah sangat diharapkan isi kandungan Kitab Wahdaniatullah ini dapat membantu saudara saudara dalam memahami Ilmu Hakikat.

Kepada siapa yang sudi eloklah dihadiahkan Fatihah kepada Ruh Sheikh Qamarudden Al-Haj Al - Bruasi.

Fakirabdillah.

...................................................................................

WAHDANIATULLAH
Manuskrip Tulisan Tangan Arwah Sheikh Qamarudden Al-Haj


PEMBUKA KATA DARI PENYALIN
Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi


Tuan Sheikh Qamarudden Al-Haj adalah salah saorang guru saya. Guru yang sangat saya hormati. Saya memanggilnya sebagai Bang Din. Beliau telahpun kembali menemui Tuhannya.

Beliaulah yang banyak memberikan pemahaman kepada saya tentang INTIPATI ILMU HAKIKAT. Ilmunya berkaitan Ilmu Hakikat adalah sangat dalam dan luas. Beliau diberi kelebihan oleh Allah sebagai saorang penulis yang rajin dan mempunyai gaya tersendiri dalam menyampaikan ilmu. Setahu saya beliau telahpun menulis sekurang-kurangnya 16 kitab kitab Ilmu Hakikat. Yang saya tidak tahu – entah berapa.

Semasa kali pertama saya datang kerumahnya untuk belajar Ilmu Hakikat beliau menunggu dimuka pintu rumah sambil menunjukkan Penumbuknya kepada saya dan berkata : Apa engkau ingat aku ini guru ? Engkau nampak ini ? Bila saya menjawab saya nampak penumbuk lantas dia mengahalau saya balik.

Pada malam berikutnya saya ( yang degil ) datang lagi. Kali ini Bang Din menunjukkan Penamparnya sambil menunggu dimuka pintu dan mengherdik saya dengan nada yang garang : Kau nampak ni !!. Saya menjawab : Nampak pelempang , semalam penumbuk semuanya jari jari abang.

Mendengar jawapan saya itu, secara tiba tiba Bang Din berubah wajah dan berubah watak. Beliau mempersilakan saya masuk kerumahnya dengan sopan sekali.

Pelajaran pertama saya dengan Bang Din ialah MENGKAJI MUQADDAM iatu mengenal Alif – Ba- Ta hingga Ya. Bang Din menyuruh saya membaca huruf huruf itu dari Alif hingga Ya bersama kalimah Wassalamu melebihi 30 kali.

Peliknya walaupun didera sebegitu, saya tidak letih, tidak rasa terhina dan tidak pula merajuk dan marah. Akhirnya entah pada kali bacaan yang keberapa atas Kehendak Allah jua saya menyebut kesemua huruf huruf Alif hingga Ya itu sebagai ALIF belaka. Bang Din hanya senyum lebar dan minta saya buktikan bahawa semua huruf huruf itu ialah Alif belaka seperti yang baru saya sebutkan itu.

Dengan Kehendak Allah jua secara spontan, saya minta izin Bang Din untuk meminjam sebuku benang dan gunting dari isterinya yang ketika itu sedang menjahit. Lantas saya buktikan bahawa huruf Ba hingga Ya bahkan Kalimah Wassalamu itu adalah huruf Alif yang telah bertukar rupa menyebabkan berbunyi ba bi ..ya yi dan sebagainya.

Malah secara spontan tanpa berfikir mulut saya berkata : macam jari jari Bang Din semalamlah membentuk menjadi penumbuk, penampar namun ia tetap jari jari.

Mendengar jawapan dan penjelasan saya itu, Bang Din berkata : Memang ada bahagian kamu dalam bab Ilmu Hakikat ini : Marilah kita bersama-sama berdoa kesyukuran terhadap Allah katanya. Bang Din membaca doa dan saya mengaminkannya.

Setelah belajar secara berterusan setiap malam selama dua minggu, Bang Din yakin bahawa saya memang sangat berminat mempelajari Ilmu Hakikat.

Beliau telah menyerahkan 16 Kitab Kitab tulisan tangan karangan beliau kepada saya untuk dibuat salinan. Beliau mengarahkan saya membaca kitab kitab itu satu demi satu hingga faham. Saya tidak dibenarkan datang lagi kerumahnya melainkan ada perkara yang saya benar benar tidak faham.

Antara kitab beliau yang sangat saya minati ialah kitab WAHDANIATULLAH ini. Salam Takzim


Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi
15hb Ogos 2006.

………………………………………………………………………………………………..............................................

MUQADDIMAH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

WAHDANIATULLAH yang membawa erti MENGESAKAN ALLAH adalah nama yang sesuai kuberikan pada KITAB ini.

Walaupun ianya ringkas tetapi MENDALAM kerana inilah satu-satunya AMANAT ALLAH kepada Rasul dan Rasul kepada umatnya. Bukanlah tanggungjawabku untuk MENSYIRIKKAN ALLAH atau MENGHUKUM KAFIR sesama manusia tetapi kitab ini ku-bukukan untuk TATAPAN Umat Muhammad.

Kalau ada yang mahu menggunakan akal dan menghabiskan masa untuk berfikir tentang KEESAAN ALLH maka renungkanlah kalimat kalimat didalam kitab ini, kemudian serahkan kepada Allah supaya dapat menenangkan hati dan membuka PINTU HIJAB yang selama ini menebal dilubuk hati kita.

Untuk mendapatkan Makrifah Ilmu Ketuhanan agar segala Amal Ibadah kita tidak sia sia , maka ada tujuh ( 7 ) perkara yang wajib manusia buangkan jauh jauh dari lubuk hati yakni :-

RIAK iaitu suka memuji diri
UJUB ertinya herankan diri sendiri
SUM’AH iaitu meminta diri dipuji dan ingin terkenal
TAKABBUR iaitu sombong dan membesarkan diri
HASAD DENGKI maknanya aniaya dan umpat keji
HABUJAH iaitu terlalau kasih dan pentingkan harta dunia
HABUDUNYA iaitu terlalu pentingkan Kehidupan Dunia

Ini adalah Sifat Tercela yang menjadi PERISAI yang menghalang ke JALAN HAQ.



Sheikh Qamarudden Al-Haj

3 ulasan:

  1. Salam dan terimakasih saudaraku.....

    Maaflah lambat jawab sebab ..entah apa sebab dinampakkan ada komen..tuanlah yg pertama tulis komen.

    InsyaAllah saya akan jadi follower tuan

    Thanks again

    Si-fakir.

    BalasPadam
  2. tuan Fakir Abdillah blog anda banyak membantu menjadi asbab mencerahkan dalam merungkai jalan hakikat, Salam

    BalasPadam
  3. Aslmkm wr wb

    Semoga saudaraku selalu berada di dalam naungan dan rahmatnya,serta cahaya keheningan dan ketenangan buat saudaraku disana.
    Mohon maaf,saya Azmi dan saya amat berminat dengan perkongsian ilmu saudaraku semuaNya di dlm blog ini.
    Saya ada terbaca nukilan tentang Wahdaniyatullah yamg saudaraku sharekan dlm website,mohon maaf,atas keikhlasan diri yang daif ini,saya ingin kalau tidak keberatan saudaraku bole sharekan original kitab tersebut pada saya,melalui email atau apa pun yang mudah buat saudaraku disana.
    Atas nama kemuliannya dan jalan yang lurus,saya benar benar ingin membaca untuk kefahaman dan kajian buat diri saya sendiri dan BUKAN untuk pergunaan lainNya.Saya minta keizinan saudaraku atas permintaan dari hati saya yang tulus.
    Terimakaseh dan saya tunggu jawaban dari saudaraku.
    Wasalam.
    Azmi

    BalasPadam