Rabu, 12 Mei 2010

TASDIQ & IQ'TIKAD dari segi pandangan Ilmu Hakikat

TASDIQ & IQTIKAD.

TASDIQ itu berkaitan dengan percaya kepada apa yang difahami. Percaya ini tahapnya percaya penuh, tidak ada langsung belah bahaginya. Oleh kerana ianya berkaitan dengan apa yang difahamkan maka ada banyak kes yang ditasdiqkan itu tidak merangkumi maksud sebenar atau maksud sepenuhnya sesuatu yang hendak dipercayai itu kerana orang yang bertasdiq itu tidak faham atau kurang faham atau berbeza fahaman mengenai apa yang dipercayainya itu.

Perkara yang difahami dan dipercayai itu atau apa apa yang hendak ditasdiqkan itu dikatakan sebagai IQ’TIKAD. Maka walaupun umat Islam yang satu itu BERIMAN kepada Tuhan Yang Esa iaitu Allah, Iq’tikad mereka berbeza-beza. Maka wujudlah Iq’tikad Ahli Sunnah Wal – Jamaah, Iq’tikad Syattariah, Syiah dan sebagainya.

Dalam hal kita, Iq’tikad kita ialah IQ’TIKAD ORANG HAKIKAT. Kalau kita mengaku beriq’tikadkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah maka ianya bukanlah Iq’tikad Ilmu Hakikat. Ianya Iq’tikad orang Syariat atau orang Feqah.

Ini adalah kerana kedua golongan itu berbeza pendapat dan fahaman dalam beberapa perkara. Masing-masing mengatakan bahawa apa yang mereka faham itulah yang betul dan benar.

Ahli Sunnah mengatakan orang Hakikat itu orang yang bukan sahaja SESAT tetapi MENYESATKAN orang lain. Manakala orang Hakikat pula mengatakan bahawa orang Ahli Sunnah itu TIDAK SESAT tetapi merupakan orang orang yang belum sampai lagi meningkat pemahamannya berkaitan perkara perkara dimana mereka berbeza pendapat itu.

BEBERAPA PERBEZAAN FAHAMAN ANTARA ILMU FEQAH & ILMU HAKIKAT

a. Berkaitan Kejadian Manusia Dengan Perentah KUN.

Pendapat & Fahaman Ahli Sunnah ( ASWJ )

Ahli Sunnah berpendapat bahawa sebelum dijadikan manusia itu ADOM atau tidak ada. Allah menjadikan manusia itu dengan perentah KUN maka jadilah manusia itu sebagai manusia.

Yang demikian manusia itu bersifat BAHARU iaitu YANG DIJADIKAN. Seterusnya jadilah manusia itu HAMBA atau ABID atau YANG MENYEMBAH manakala Allah itu Khaliknya iaitu YANG DISEMBAH.

Pendapat & Fahaman Ahli Hakikat.

Manusia itu ada bersama Allah sejak azali iaitu dalam ILMU Allah. Oleh itu manusia itu TIDAK DIJADIKAN dan seterusnya BUKAN BERSIFAT BAHARU.

Hujah mereka :

Bagaimanakah ( benda ) yang tidak ada ( seperti fahaman ASWJ ) boleh menerima perentah KUN ?

Pada Ahli hakikat, manusia itu merupakan Penampakan ( Tajalli ) Lahir Allah didunia ini. Manusia pada hakikatnya tidak wujud. Yang Wujud Hanya Allah.

Oleh itu pada hakikatnya tiadalah Yang Menyembah dan Yang Disembah. Segala perintah Allah adalah ibadah iaitu diam dan gerak manusia itu disebut sebagai Af’al Allah atau Perbuatan Allah. Tiada langsung perbuatan manusia itu.

b. Berkaitan Perbuatan Manusia

Ahli Sunnah

Semua perbuatan manusia itu telah ditentukan Allah tetapi manusia itu ada usaha dan ikhtiarnya. Tetapi hasil usaha dan ikhtiar itu juga telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Oleh itu manusia tidak boleh mengsabitkan hasil usaha dan ikhtiarnya itu kepada dirinya. Wajiblah disabitkan kepada Allah jua.

Ahli Hakikat

Tiada perbuatan manusia itu. Segala-galanya adalah Perbuatan atau Af’al Allah belaka. Manusia itu hanya merupakan SANDARAN atau ALAT bagi Allah menunjukkan Af’alNya.

Contohnya dalam kerja menulis, bukan pen yang menulis tetapi Penulislah yang menulis. Pen hanya alat untuk menulis.

Iq’tikad ini disebut sebagai Iq’tikad Ahli Hakikat atau Iq’tikad Ahli Kasyaf.

Bersambung ……

Tajuk akan datang :-

- Tahap Tahap Iman

3 ulasan:

  1. assalamualaikum Tuan Abdillah,

    fakir ingin memberitahu yang fakir tidak bersetuju dengan Tuan Abdillah mengenai "IQ’TIKAD ORANG HAKIKAT " itu sahaja, fakir yang dhaif lagi hina ini. Maaf.Wassalam.

    BalasPadam
  2. Dimanakah tapak(yang boleh disebutkan)duduknya bila kita mnyatakan bukan pen yang menulis tapi penulis yang menulis...disinilah orang hakikat perlu capai..adakah pada tahu,mengerti,kenal,mengenal atau kenal pada yang dikenali...baik kita ada perasaan tapi jangn perasan..telur dihujung tanduk

    BalasPadam
  3. 73 pintu, 73 Jalan... Yang sampai hanya 1 jalan....

    BalasPadam