Khamis, 13 Mei 2010

TAHAP TAHAP TAUHID ...dari kacamata Ilmu Hakikat

TAHAP TAHAP TAUHID


TAUHID itu merupakan kepercayaan sasaorang muslim itu tentang Tuhannya iaitu Allah SWT.

Imam Al-Ghazali menjadikan sebiji kelapa sebagai contoh untuk menjelaskan tahap tahap tauhid sasaorang itu.

Saperti Iman, tauhid juga bertingkat – tingkat naik mengikut apa yang diyakini dan ditauhidkan oleh sasaorang itu. Ianya berkaitan rapat dengan apa yang ditashdiqkan oleh sasaorang itu apabila mengucap Dua Kalimah Syahadah. Apa yang diyakini hasil pemahaman akan intipati kandungan Kalimah Syahadah itu disebut sebagai IQ’TIKAD.

Adalah jelas IQ’TIKAD itu ialah hasil atau buah kepada pemahaman sasaorang itu tentang KALIMAH SYAHADAH-nya dan juga tentang Tuhannya. Dalam atau bertambah ilmunya maka meningkatlah TAUHIDnya.

Jika sasaorang itu berpuashati dengan hanya mengetahui Rukun Iman & Rukun Islam sahaja, maka akan kekallah ia pada TAUHID ASAS. Ini disebut sebagai TAUHID ORANG AWAM.

Dalam hal ini seperti Iman juga tiada yang salah. Ianya tahap atau tingkat tingkat sahaja. Walaupun sasaorang itu berusaha untuk mendalami ilmu agamanya, penentuan segala-galanya ada pada Allah jua. Maka dikatakanlah bahawa tingkatan tingkatan itu merupakan ANUGERAH ALLAH atau KETENTUAN ALLAH.

TAUHID ASAS.

Jika sasaorang bukan Islam mengucapkan Dua Kalimah Syahadah maka tidaklah boleh dikatakan ia orang kafir, kerana kita tidak tahu apa yang ditashdiqkan olehnya didalam hatinya. Ini seperti kulit bahagian luar kelapa yang hijau jika muda dan coklat bila masak.

TAUHID ORANG AWAM / AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Jika sasaorang itu mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan mentashdiqkan dihati bahawa Tiada Tuhan Yang Disembah Melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah, maka tauhid sebegini disebut sebagai Tauhid Orang Awam.

Orang pada tingkat ini tidak mengamalkan NAFI & ISBAT dalam Kalimah Syahadahnya. Maka berimanlah ia bahawa manusia itu ialah manusia manakala Tuhan ialah Tuhan. Perbuatannya ialah perbuatan dia selaku manusia dan Perbuatan Allah tidak ada kena mengena dengannya.

Tauhid sebegini ibarat SABUT KELAPA yang tebal itu membawa erti orang awam yang ramai itu. Ianya juga disebut sebagai Tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah.

TAUHID ORANG KHUSUS / KHAWAS

Orang orang pada tahap ini disamping mengakui akan Ketuhanan Allah dan Kerasulan Muhammad juga mentashdiqkan pengakuannya dengan NAFI & ISBAT.

Kalimah Tauhid ditashdiqkan sebagai : Aku mengaku dengan bersaksikan diriku sendiri bahawa TIADA YANG NYATA didalam diriku melainkan Allah semata-mata. Yang mengaku itu ialah YANG BERSUARA itu ( nyawa / ruh ) manakala saksinya ialah YANG MENYAMPAIKAN SUARA itu ( jasad / badan )

Kalimah Rasul ditashdiqkan bahawa : Aku mengaku dengan bersaksikan diriku sendiri bahawa AKULAH MUHAMMAD menyampaikan HAQ ALLAH. Seperti yang disebut diatas yang bersuara itu ialah Nyawa atau Ruh ( Nur Muhammad ) dan saksinya ialah Jasad atau Badan. ( yang menyampaikan suara )

Tauhid sebegini diibaratkan sebagai isi kelapa oleh Imam Ghazali.

Orang orang pada peringkat ini beriman bahawa manusia itu tidak mempunyai apa apa daya upaya dan perbuatan. Segala daya upaya dan sebagainya adalah Sifat Sifat Allah belaka. Maka segala perbuatan anggotanya pada hakikatnya adalah AF’AL ALLAH belaka. Anggota anggota jasadnya merupakan ALAT atau SANDARAN bagi Allah melaksanakan PerbuatanNya.

Tauhid pada peringkat ini juga disebut sebagai TAUHID AF’AL. Ianya Tauhid Peringkat Pertama bagi orang Hakikat.

Tauhid sebegini diibaratkan seperti ISI atau SANTAN KELAPA oleh Imam Ghazali.

TAUHID ORANG KHUSUS AL – KHUSUS

Tauhid yang sebegini ialah Tauhid Peringkat Tertinggi atau Tauhid Orang Khusus Al-Khusus.

Orang orang pada peringkat ini mentashdiqkan Dua Kalimah Syahadah itu sebagai TIADA YANG WUJUD dialam mayapada ini. YANG WUJUD HANYA ALLAH atau dalam bahasa tasaufnya LA MAUJUDA ILLALLAH. Tiada Kalimah Rasul kerana pada mereka Nabi Muhammad itu pada hakikatnya ialah Sifat Allah Yang Agung.

Orang yang bertauhid sebegini beriman bahawa dirinya sendiri sebagai manusia pada hakikatnya tidak wujud. Dirinya merupakan Penampakan Allah Yang Nyata didunia ini atau dalam bahasa Tasaufnya disebut sebagai Tajalli Allah.

Diri Yang Sebenarnya Diri yang meliputi jasadnya ialah RUH AL-QUDSI ALLAH. Jasadnya yang dianggap hidup itu pada hakikatnya mati dan dihidupkan oleh RUH AL-QUDSI ALLAH iaitu nyawanya.

Dirinya sebagai manusia merupakan alat atau sandaran Allah untuk menunjukkan KeagunganNya, Kesempurnaan dan Kebesaran Allah.

Sekiranya anda menganggap bahawa anda adalah penganut Ilmu Hakikat sewajarnyalah anda bertauhid pada peringkat Tauhid Khusus Al-Khusus ini.

Tauhid peringkat ini disebut juga sebagai TAUHID ZAT yang merangkumi Tauhid Sifat, Asma’ & Af’al.

Imam Ghazali mengumpamakan Tauhid ini dengan RASA LEMAK SANTAN KELAPA iaitu ZAT dalam santan kelapa itu.

NAFI & ISBAT

Dari penjelasan berkaitan tahap tahap Iman & Tauhid diatas, kita merumuskan bahawa yang membezakan tauhid antara orang awam dan orang khusus itu ialah berkaitan perkara NAFI & ISBAT.

NAFI maksudnya menafi atau menidakkan manakala ISBAT itu maksudnya meng-iyakan atau mensabitkan.

Dalam Tauhid maksud Nafi & Isbat ada tiga peringkat :-

Pertama – Menafikan Jasad dan mengisbatkan Nyawa.
Kedua – Menafikan Nyawa dan mengisbatkan Zat Allah.
Ketiga – Tiada Nafi Tiada Isbat. Maksudnya yang dinafikan itulah yang diisbatkan dan yang diisbatkan itulah yang dinafikan.

Yang dinafikan dan yang diisbatkan itu berkaitan dengan Zat, Sifat, Asma’ & Af’al Allah. Perkara nafi isbat ini akhirnya menjurus kepada hubungan makna antara Hakikat Manusia & Hakikat Allah itu sendiri.

Untuk memahami Nafi & Isbat sasaorang itu wajiblah menghalusi Sifat Sifat 20 Allah yang sewajarnya dia tahu dan faham jika mengaku beragama Islam dan bertuhankan Allah SWT. Wajiblah dia tahu dan faham apakah yang dikatakan Sifat Maani, Sifat Maknuyah, Sifat Napsiah & Sifat Salbiah.

Seterusnya hendaklah dia dapat mengaitkan dan memahami kaitan Sifat Sifat 20 Allah itu dengan DIRI-nya baik berkaitan jasadnya mahupun nyawanya.

Akhirnya pemahamannya Mengenai Sifat Sifat 20 Allah itu dan kaitan dengan dirinya akan meningkatkan tahap Tauhidnya – bermula dari Tauhid Orang Awam meningkat ke Tauhid Orang Khusus dan seterusnya kepada Tauhid Khusus Al-Khusus.

Perlu juga diingatkan disini bahawa mahasuci Allah dari hanya memilikki 20 Sifat sahaja. Sifat Sifat Allah itu terlalu banyak untuk diketahui manusia. Yang wajib saorang Islam itu tahu hanya 20 . Itulah maksudnya. Ini adalah kerana otak manusia itu iaitu akal dan ingatannya terhad. Yang menghadkan ialah Allah.

SIFAT 20 ALLAH……dientri akan datang.

Al-Fakir Abdillah Abdullah Al-Gemasi.
Disalin oleh Fakir Abdillah.

2 ulasan: