Jumaat, 4 Februari 2011

MEMBICARAKAN PENDAPAT ORANG MENGENAI IBNU ARABI disamping memahami ajaran & pendapatnya melalui Fusus Al-Hikam……....ENTRI 3




KOSMOLOGI SUFI ILMU YANG TERTINGGI DALAM PANDANGAN SAINS ISLAM

Prof Dr Shahidan Radiman
Pusat Pengajian Fizik Gunaan Fakulti Sains dan Teknologi
UKM , Bangi 43600 , Selangor D.E

Pengenalan

Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu para anbiya’ Allah dan kekasih Allah ( waliyullah) merupakan ilmu yang tertinggi , sebahagiannya yang dapat dicerap secara zahir berupa mukjizat dan keramat namun bahagian yang batin atau asrar hanya dapat dicerap oleh para ahli makrifat ( ahli Sufi muhaqqiqin) .

Dalam banyak kajian perbandingan yang dilakukan oleh para sarjana Muslim dan sarjana Barat , seolah-olah terdapat percanggahan di antara Islam yang diamalkan oleh majoriti Muslim dengan ahli Sufi (kebanyakannya kumpulan Tarekat) dan juga percanggahan di antara pelaksanaan syariat dan muamalat yang diamalkan oleh kebanyakan orang islam berbanding orang Sufi. Ada dua sebab mengapa perbezaan itu seolah-olah wujud :-,

pertama kerana para pengkaji kurang memahami amalan (zahir dan batin) orang Sufi dan

kedua , atas sebab tujuan tertentu (politik , munafik , sabotaj dan lain-lain) untuk memburukan dan mempertelagahkan pelbagai golongan dalam Islam , sedangkan jelas terdapat tiga golongan dari segi pengamalan Islam iaitu awam, khawass dana khawasul khawass.

Kertas ini cuba menghuraikan beberapa aspek kosmologi Sufi dengan tujuan agar sebahagian daripada ilmu dan amalan mereka dapat difahami , sebahagian besar daripadanya merupakan amalan batin Rasulullah s.a.w dan mengaitkan aspek Kosmologi Alam Semesta ( alam kabir) dengan Kosmologi Insan ( alam saghir). Dengan cara ini maka jelaslah hubungan harmoni di antara manusia dan alam semesta , yang kedua-duanya merupakan makhluk yang semestinya menyembah dan mengabdikan diri kepada Maha Penciptanya.

Sejarah Ringas Perkembangan Sufi

Daripada banyak kajian yang di lakukan oleh banyak sarjana khasnya oleh sarjana Barat dapat disimpulkan bahawa aliran Sufi ini dikembangkan oleh Hasan Al-Basri , tetapi bibit pendidikan dan amalan zahir dan batin bagi aliran ini banyak diambil dari Saidina Ali , Abu Hurairah , Salman Al-Farisi dan beberapa sahabat lain yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. Banyak juga amalan batiniah yang diambil dari Saidina Hasan dan Husin serta ahlil bayt yang lain termasuk Jaafar As-Sadiq.

Banyak kajian telah dilakukan untuk memahami kosmologi sufi di antaranya bagi aliran Ishraqi ( Ayn Qudat Hamadani , Suhrawardi Maqtul ) , aliran Malamati -Qalandar ( Abu Sayd Abil Khair , al Qusayri , al Kalabadzi dll) , aliran Isyik (Umar Ibn Farid, Jalaludin Rumi , Sultan Bahu , Baba Tahir Orayan dll) dan banyak lagi aliran . Hujjatul Islam Imam al-Ghazali telah dapat menyintesiskan aliran falsafah kalam dengan aliran sufi yang kemudiannya diikuti oleh Ahmad Sirhind dan Shah Waliyullah Dehlawi.

Zaman moden sekarang (pasca 2000) aliran Sufi sudah begitu pesat berkembang di Barat dan merupakan satu mod atau pendekatan pengislaman penduduk Barat yang paling pesat membangun dengan pelbagai khanqah dan zawiyah ditubuhkan di seluruh Amerika dan Eropah mengikut model tradisional khasnya model Morokko dan Tunisia.

Dapat dirasai bahawa minat Barat terhadap Sufisme banyak berkait dengan hal kesihatan jiwa atau psikologi jiwa. Amalan zikir dan cara ahli Sufi berfikir dan bermuamalat ( dibandingkan cara majority amalan Muslim yang awam) nampaknya telah dapat menarik minat ramai orang Barat yang rata-rata adalah ateis atau hanya Kristian ikut-ikutan.

Kosmologi sufi mencangkum psikologi dan amalan perubatan ( lihat Laleh Bakhtiar (1) ). Banyak kajian telah dilakukan terhadap amalan dan kosmologi Sufi ( sila lihat rujukan di Lampiran 1,2 oleh Ken Lizzio (2)). Kertas ini hanya memberikan satu ringkasan dan pengkategorian kosmologi Sufi berdasarkan perkembangan terkini.
Sains Islam dan Sufisme

Dalam zaman dimana manusia semakin rakus terhadap pembangunan material , Islam yang menekankan aspek akhirat lebih daripada aspek dunia , pahala lebih daripada harta dan amalan lebih dari hasilkerja tangan semakin luntur daripada pemahaman dan keutuhan akidah ummah. Maka Sains islam yang pernah dibangunkan oleh golongan ahli kalam bagi menangani masalah alam ghaib dan sudut batin Islam secara rasional perlu dikembangkan dan digiatkan lagi pengkajian dan penghayatannya agar ummah tidak akan tenggelam dengan arus kerakusan material dan harta serta pangkat yang sebenarnya direka oleh manusia juga.

Bidang sufisme yang berkembangan semenjak Hasan al-Basri ( yang belajar daripada beberapa sahabat Nabi s.a.w termasuk cicit Nabi s.a.w iaitu Jaafar as Sadiq ) dan seterusnya pemuka-pemuka Baghdad yang lain seperti Sirri as-Saqoti dan Junaid al Baghdadi dan Rabiah al Adawiyyah semakin tercabar pada zaman perkembangan aliran Muktazilah dan kemudiannya golongan syariati atas nama penyucian agama daripada bid’ah oleh Ibn Taimiyyah.

Salah seorang guru Sufi terkenal yang digelar Sheikh al-Akbar ialah Ibn Arabi al-Hatimi yang telah menukilkan lebih 350 kitab aliran ini , tidak pernah ditentang oleh mana-mana ulama yang muktabar pada zamannya mahupun dalam masa 200 tahun selepas kematiannya tetapi mula dipertikaikan oleh ulama lain selepas itu.

Di alam Melayu , tulisan Ibn Arabi dan tulisan ahli Sufi lain yang sealiran antaranya dari tareqat Naqshabandiyah , Shattariyah , Ahmadiah dan Rifaiyah yang mendukong ajaran martabat tujuh , Nur Muhammad dan wihdatul wujud memang senang diterima ( lihat beberapa tulisan mengenainya oleh Muhammad Uthman El-Muhammady (3)) Ini kerana , konsep dan amalan yang diterapkan di Nusantara yang diperkenalkan oleh Wali Sembilan adalah dalam aliran ini , diperkuatkan lagi oleh tokoh-tokoh Sufi Nusantara seperti Hamzah Fansuri , Samshuddin Sumatrani , Abdul Rauf Singkel, Sheikh Abdul Muhyi , Abdul Samad al-Palembangi dan tokoh-tokon Pattani seperti Sh. Daud al-Fatani dan lain-lain.

Hanya dalam kes Hamzah Fansuri , beliau telah ditentang oleh Nurudin al-Raniri tetapi itupun selepas kematiannya – dan huraian tentang kesilapan hujjah Nurudin al-Raniri terhadap Hamzah Fansuri menjadi tajuk tesis terkenal Syed Naquib al-Attas yang diserahkan kepada Univ. of London pada tahun 1972.

Dari banyak segi , pandangan dan tulisan para ahli Sufi sukar digugat – antaranya disebabkan oleh bagaimana ilmu dan hikmah pada ahli Sufi muhaqqiqin itu didapatkan terus daripada ilmu para anbiya’ dan pengajaran langsung daripada Allah s.w.t sendiri. Pembuktian ilmu pada ahli Sufi didapatkan secara dzauqi dan pengalaman langsung , tidak kepada rasional atau jalan pemikiran yang boleh dikelaskan sebagai tasauf falsafi. Bagi pembaca yang berminat terhadap pemikiran tasauf dan Sufisme terkini bolehlah merujuk kepada kitab Abdul Qadir Isa berjudul “ Haqaiq at Tasawuf” (4).

Wujud dan wajibul wujud *

Wujud dan wajibul wujud merujuk kepada kewujudan Allah s.w.t sebelum Dia memperkenalkan dirinya kepada makhluk.

Dalam hiraki Martabat tujuh ini bermakna di dalam alam ahdah ini semua makhluk, ilmu tentang makhluk dan apa yang akan terjadi di masa depan terpendam dalam Diri Allah yang Esa dan Azali itu (lihat Lampiran 1) .Selepas terjadinya makhluk melalui alam wahdah , alam ahadiyah , alam ruh, alam ajsam dan alam insan itu maka tauhid yang sebenar yang boleh dikekalkan dihuraikan oleh konsep wihdatul wujud.

Bagi aliran Sufi , pemahaman tentang “asal usul” kejadian manusia wajib diketahui untuk mencapai hakikat penghambaan kepada Tuhan dan mencapai maqam mengenal diri. Tuhan yang ghaibul ghuyub itu tak bakal akan dapat diketahui tetapi dengan mencapai makam mengenal diri , maka manusia ini akan dapat berhubung dan berkata-kata dengan Tuhannya .

Pentingnya pemikiran dan tafakur tentang ketuhanan dan tauhid banyak disebut dalam Al-Quran. Junaid al Baghdadi sendiri pernah berkata : Majlis yang paling mulia ialah duduk dalam medan tauhid dengan berfikir. Di sebabkan perjalanan ahli kalam yang datang dari pelbagai latarbelakang dan kecenderungan yang lebih kepada rasionalisasi ( bukan pengimbangan rasionalisasi dengan sunnah ) maka Imam al-Ghazali kemudiannya dapat mengimbangi dan menjadi aliran Sufi yang dapat diterima ramai .

Banyak daripada ulama Melayu menganggap Imam al-Ghazali tergolong dalam aliran Ishraqi ( lihat misalannya buku Hikmah Ishraqi oleh Mohd. Zaidi Abdullah). Menurut Ibn Ajibah ( salah seorang pemuka Sufi yang member I Syarah kepada Kital Hikam Ibn Athaillah) berkata:

Fikir merupakan jalan hati menujut hadhirat Rabb. Ia mempunyai dua bahagian: Pertama, fikir yang membenar dan berserta dengan iman dan kedua , fikir syuhud dan a’yan. Tiada sesuatu yang lebih bermenafaat bagi hati berbanding uzlah yang disertai dengan fikir.

Dalam perjalanan menuju hakikat wujud ( alam khalq – semua makhluk yang diciptakan Allah ) dan wajibul wujud ( Allah s.w.t sendiri ), ada di antara mereka (ahli Sufi yang sampai ke peringkat wahdatul af’al ( perbuatan ) iaitu secara dzauq dan syuhud. Ini dibuktikan oleh ayat 17 surah al-Anfal :

Dan bukan kamu yang melontar ketika kamu melontar akan tetapi Allahlah yang melontar”.

Ada ahli Sufi yang mencapai maqam wahdatus sifat secara dzauq dan syuhud. Dia mengecapi makna yang difirmankan oleh Allh s.wt iaitu ayat 30 surah al Insan:
Dan tidak kamu menghendaki kecuali bila dikehendaki Allah s.w.t
Serta apa yang dihurai oleh hadiths iaitu:

Maka apabila Aku menyintainya, Aku menjadi pendengaran yang dia mendengar dan penglihata yang dia melihat dengannya.

Peringkat ini juga boleh dianggap sebagai satu peringkat wusul. Diperingkat yang lebih tinggi lagi ialah maqam fana’ fizzat lalu dia menyaksikan sifat segala sesuatu berlawanan dengan kewujudan Allah s.w.t. Dia mengecapi apa yang disebut dalam hadiths:

Kalimah paling benar yang dikatakan penyair ialah kata-kata Labid: Ingatlah segala sesuatu selain Allah itu adalah batil………..

Syuhud dan a’yan itu merupakan keadaan seseorang itu tercengang dan bingung dengan kebesaran yang ditunjukkan serta rahsia yanag ditunjukkan oleh Allah s.w.t kepadanya , sehingga dia terdiam dan tidak dapat berkata-kata. Itu sebabnya beberapa pemuka Sufi membawa doa “ Wahai Allah s.w.t , jadikanlah aku lebih bingung lagi!”.

*Ustaz Mohd Zaidi Abdullah telah mencadangkan agar “wujud dan wajibul wujud” menjadi titik-tolak Pengislaman Ilmu atau Pengislaman Sains.

Memandang ke Alam Malakut dan Jabarut dengan Mata Batin (Basyirah)


Sheikh Ahmad al-Rifai ( kitab Al Burhan Al-Muayyad) menulis:
Daripada takut akan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah akan timbulnya muraqabah dan daripada muraqabah , hati akan sentiasa sibuk bersama Allah s.w.t. Dari sini jelas bahawa kaum Sufi lebih mementingkan pekerjaan dan lintasan hati , walaupun syariat tetap diutamakan. Tareqat adalah jalan menuju kepada Allah s.w.t yang diambil cara dan jalannya dari kalangan para sahabat r.a dan tabiin, sedangkan hakikat dipelajari melalui guru yang mursyid yang telah dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri secara ladunni , mimpi atau rukyah sedangkan makrifat adalah pemberian dan anugerah Allah kepada mereka yang sentiasa mendampingi (syuhbah) para ulama Sufi yang muhaqqiqin .

Ajakan kepada jalan tareqat iaitu jalan mengenal diri dan setrusnya mengenal Allah s.w.t demi mencapai ilmu yang tertinggi ( iaitu ilmu tentang Ketuhanan) disebut dalam al-Quran dalam surah Az Zaariyat ayat 50:

Maka segeralah kembali kepada Allah , sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata daripada Allah untukmu.

Itu sebabnya salah satu tanda bahawa seseorang itu diterima dalam jalan tareqat ( jalan suluk , jalan menyendiri ) ialah selalunya bermimpi berjumpa dengan paran Nabi a.s termasuk Rasulullah s.a. dan kemudiannya dengan para sahabat r.a , tabiin atau waliyullah yang lain , termasuk para malaikat. Panggilan untuk bersama (syuhbah) dengan ulama muhaqqiqin ( guru mursyid , termasuk para arwah yang menjadi kekasih Allah s.w.t) disebut dalam firman Allah s,.wt dalam surah Taubah ayat 119:

Wahai orang yang beriman , bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan orang yang benar.

Mereka mengajak untuk kembali kepada Allah ( surge dunia ketika hidup dan surge akhirat selepas mati) seperti yang difirmankan dalam surah Al-Qamar ayat 55:
Ditempat yang disenangi (penuh kebahagiaan) di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa .
Jelas bahawa perjalanan pemula ahli Sufi (salik) adalah perjalanan batiniah diikuti dengan perubahan kepada zahiriah dan setrusnya pembaikan kepada batiniah itu sehingga salik itu dapat melihat secara batiniah alam-alam malakut dan alam jabarut serta mencapai kenikmatan beribadat ( surga dunia) samada sendirian ( biasanya membawa zikir mufrad dan lain-lain isim ) mahupun berjemaah ( khalwah , uzlah , qiyamullail dan muzakarah secara berkelompok).

Para ahli Sufi juga banyak membuat perbezaan di antara amal-amal orang awam , khawas dan khawasul khawass. Sebagai contohnya , Ibn Ajibah ( dalam kitab Mikraj at Tasawuf Ila Haqaiq at Tasawuf) menukilkan dalam bentuk nazam (tentang khauf- takut kepada Allah s.w.t):

Khauf awam daripada siksaan dan luput pahala
Khauf khusus daripada celaan Allah dan jauh daripadaNya
Sementara khauf khususul khusus daripada terhijab dengan buruk tingkahlaku dan adab sopan terhadapNya.

Seterusnya beliau berkata tentang raja” (harapan kepada Allah s.w.t) sebagai berikut:
Raja’ orang awam ialah sebaik-baik tempat kembali dan memperolehi ganjaran pahala, raja’ khawass ilah mencapai keredhaan dan kedekatan dengan Allah s.w.t sementara raja’ khasul khawass ialah tamkin dalam syuhud serta bertambah peningkatan terhadap rahsia-rahsia Allah s.w.t yang merupakan Raja Yang DiSembah.

Kaum Sufi adalah kaum melakukan amal kerana ingin mendapatkan surga atau kerana takutkan neraka, seperti dalam satu riwayat tentang satu kumpulan ahli ibadat yang ditemui Nabi Isa a.s : Nabi Isa a.s bertanya “ Siapakah kamu? “. Mereka menjawab : Kami adalah pencinta kepada Allah . Kami tidak menyembah Allah kerana takut nerakaNya dan tidak pula kerana rindu kepada surganya, akan tetapi kerana cinta kami kepadaNya dan membesarkan keagunganNya . Maka Nabi Isa a.s pun berkata : Kamu adalah wali-wali Allah yang sebenarnya . Sesungguhnya aku diperintah untuk berada bersamamu dan menyeru yang lain.

Kaum Sufi mengenal Islam dan melaksanakan syariatnya melalui pengalaman-pengalaman yang dibuka oleh Allah untuk melihat kebesaranNya. Lalu mereka mendapat didikan melalui para waliyullah , para nabi a.s ( secara ladunni) dan melalui ilham daripada Allah s.w.t sendiri. Banyak dari ilmu para Sufi adalah melalui jalan kasyaf seperti yang ditunjuki oleh hadiths:

Kalaulah bukan kerana syaitan yang mengerumuni hati anak Adam , nescaya mereka akan dapat melihat kerajaan langit .Percanggahan pendapat tentang keberadaan alam ( dari aspek wujudnya) sebenarnya timbul daripada keadaan atau ahwal seseorang manusia itu seperti berikut:

Keadaan/Ahwal Natijah / Kesan

Rasional “Tauhidic Intellectuality” ( meminjam kata Muhammad Uthman Muhammady)
Fana’ Wihdatus Syuhud (meminjam kata Ahmad Sirhind) Fana’ baqa’ billah * Wihdatul wujud ( dinisbahkan kepada Ibn Arabi tetapi istilah ini sebenarnya datang dari Awahudin Kirmani)

*ahli mistik (Sufi) Jawa ada istilah yang lebih ekstrim iaitu “manunggaling kawula Gusti” – bersatu dengan Yang Maha Esa – tapi itu dari segi bahasa sebab mereka pun tahu hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan , tidak akan bersatu dalam ertikata hulul.

Ilmu Yang Tertinggi dan Nafsu Yang tertinggi


Kebersihan jiwa sangat penting seperti yang disebut dalam al-Quran surah…AsSyams 9-10…..:

Beruntunglah mereka yang menyucikan jiwanya dan merugilah mereka yang mengotorinya.

Maka , bahagian batiniah jiwa terletak kepada lataif-lataif yang banyak dihurai dalam kitab-kitab tasawuf khasnya zaman Ahmad Sirhind dan Shah Waliyullah Dehlawi . Penyucian lataif bermakna penyucian dalaman dan ini dilakukan dengan melaksanakan zikir-zikir tertentu . Kedudukan nafsu adalah seperti berikut:

Jenis Nafsu Kedudukan
Kamaliyah Surga
Mardhiah Surga
Rodhiah Surga
Mutmainnah Surga
Mulhamah Neraka
Lawwamah neraka
Ammarah neraka

Jelas bahawa hanya mereka yang mencapai nafsu mutmainnah atau lebih tinggi lagi yang dapat dijamin ahli surga, sedangkan bagi yang lain , penempatan mereka adalah di dalam neraka. Terdapat 70 lebih cabang iman dan seorang salik harus memperbaiki semua cabang tersebut atau secara amnya membuang semua sifat mazmumah dan menggantikannya dengan semua sifat-sifat mahmudah.

Zakaria Ansari seorang tokoh ahli Sufi abad ke-12 ada menulis sebuah kitab yang menghuraikan secara perinci 100 maqam peningkatan perjalanan ahlis sufi ini bertajuk Manazil As Sairin. Hubungan diantara lathaif yang berada dalam diri manusia dan alam lain dapat dilihat dalam Lampiran 2.

Bagi seseorang Sufi keikhlasan yang tertinggi akan menghasilkan keredhaan Allah s.w.t yang tertinggi. Jalan singkat dan mudah untuk mencapai keikhlasan tertinggi ini ialah melalui fana’ dan fana’ baqa’ billah apabila melaksanakan sesuatu ibadat .

Dengan cara “meniadakan diri” atau “mematikan diri sebelum mati” , maka Tuhanlah yang menjadi sumber segala gerak, fikir, tenaga dan perbuatan amalan atau ibadat itu, maka tidak aka nada dakwa-dakwi lagi tentang siapa , bagaimana dan pahala amalan tersebut. Dalam bahasa mudah Sufi , mereka sebut fana’ baqa’ billah ini sebagai “ memulangkan amanah kepada yang Empunya amanah”.

Jika seseorang dapat melakukannya sepanjang masa , maka Sufi ini sudah mencapai “solat daim”.Mereka yang dapat mencapai solat daim sudah pastinya akan dapat berhubung dengan Allah s.w.t sepanjang masa dan oleh itu menjadi “alim Rabbani”.
Dia dalam keadaan sentiasa berishtikharah dalam perbuatannya dan dia sentiada dalam keadaan fana’ atau fana’ baqa’ billah. Kita akan dapat gambaran dariapada keadaan ini ( ahwal) para waliyullah seperti yang dihurai dalam Kashaf al-Mahjub (oleh al-Hujwiri) , al Jami’ Karamatil Auliya’ (oleh Yusuf Nabhahani) dan Tazkiratul Auliya (oleh Faridudin Attar) tetapi juga dalam biografi kehidupan Ibn Arabi ( yang menulis Fususu al Hikam dan kitab lain dalam keadaan fana’) dan Abu Said Abil Khayr.

Keikhlasan merupakan kunci agama. Jika solat adalah tiang agama, maka ikhlaslah tiangnya solat. Pentingnya keikhlasan di sebut dalam banyak ayat al-Quran seperti ayat 11 surah AzZumar, surah 14 surah AzZumar, ayat2 surah azZumar , ayat 5 surah Al Bayyinah dan ayat 110 al-Kahf.

Kayu -ukur Tahap Pencapaian Sufi ( khasnya Salik atau pemula)

Huraian ini penting bagi mereka yang tidak terlibat dengan perjalanan Sufi atau menjadi ahli mana-mana kumpulan tarekat muktabar. Tahap pencapaian maqam dan ahlwal murid diberi perhatian khas oleh guru mursyid. Tanpa kekuatan batiniah ( kasyaf , ilham dan sebagainya) tidak mungkin seseorang guru mursyid itu melihat perkembangan katakan 30 atau ratusan bilangan muridnya.

Antara tahap yang agak tinggi ialah mendapat nama rahsia . Dalam erti lain , nama yang seseorang itu dikenali di langit. Ini mempunyai dalil , antaranya Nabi s.a.w sendiri dipanggil Ahmad di langit dan Muhammad di bumi, dan Uways al-Qarni adalah nama dilangit sedangkan namanya di bumi ialah Abdullah. Selalunya peningkatan ke makam yang tinggi diikuti dengan pembai’ahan dan pengijazahan yang pelbagai, samada daripada Rasulullah s.a.w sendiri malahan daripada isteri baginda seperti Saidatina Aisyah r.a dan Jibrail a.s .

Peningkatan ini diikuti dengan perjumpaan dengan para anbiya’ , malah 313 Rasul a.s dan juga seluruh malaikat yang penting , termasuk ahli Badar r.a dan ahli Uhud r.a. Seseorang itu mungkin mencapai tahap dianugerahkan Selawat sendiri, Istigfar khusus ( ini mempunyai dalil sebab Nabi Adam a.s sendiri diberi istigfar khusus oleh Allah s.w.t , juga Nabi Yunus a.s ) dan doa-doa khusus . Lampiran 3 memberikan sedikit penerangan tentang amalan dan kayu ukur pencapaian seseorang Sufi . Ilmu-ilmu yang rahsia (asrar) juga akan dianugerahkan kepada seseorang yang mencapai maqam tinggi seperti ilmu ibaratul mithal iaitu melihat dirinya sebagai lokus kosmologi alam semesta. Pada tahap mengenal diri yang tinggi ini , salik ini akan dapat menghantar ruhnya ke setiap penjuru alam.

Para guru Sufi yang mursyid pula merupakan repositori hikmah. Kelestarian ummah terletak kepada golongan ini sebab mereka yang diberikan hikmah maka sebenarnya mereka diberikan kebajikan atau kebaikan yang banyak sekali. Sebagai contoh , betapa banyak pun pakar ekonomi atau pemenang Hadiah Nobel dalam bidang ekonomi , krisis ekonomi yang teruk tetap berlaku di Amerika Syarikat. Dunia sekrang tidak ketandusan pelbagai pakar sains tulin, sains keras dan sains lembut , tetapi sebenarnya ketandusan ahli hikmah.

Daripada golongan Sufi ini juga lahir individu atau kelompok afrad , muhaddatsun, abdal, akhyar , nuquba’, nujuba’ , rajabiun dan wali qutub. Kedudukan ini sudah cukup tinggi untuk meraih keberkatan dalam kehidupan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah Ar Rahman ayat 46 :

Orang yang takut kepada Tuhannya diberi dua surga.Satu surga di dunia dan satu lagi di akhirat. Dalilnya surga dunia ialah wujudnya taman-taman surga yang terdiri daripada majlis ilmu dan majlis zikir. Begitu juga tempat tertentu yang disebutkan dalam hadiths antaranya Raudah yang berada di dalam Masjidun Nabawi.

Kesimpulan

Dalam zaman moden yang serba mencabar dan batiniah Islam makin terhakis ( apalagi yang zahir seperti pelaksanaan Hukum Islam dalam Negara) , kekuatan ummah semakin merosot dan jihad an nafs ditinggalkan , maka tidak ada jalan lain untuk “menggenggam bara” melainkan membangkitkan semula sunnah , amalan batin Islami dengan bermula melalui jalan rasionalisasi dan konsep Ketuhanan. Jika manusia mengenali Tuhannya maka mudah untuk mereka melaksanakan apa yang disuruh oleh Tuhan dan mendapat hikmah terhadap perbuatan , pelaksanaan dan akarumbi maksud kehidupan itu sendiri.

Dari mana kita datang dan ke mana kita akan pergi merupakan soalan falsafah yang telah dikitarsemula dan hanya jalan ahli Sufi yang akan dapat memberikan jawapannya. Itu sebabnya jalan Sufi juga dipanggil jalan mengenal diri , kerana dengan mengenal diri maka Tuhan akan dapat dikenal (mafhum hadiths).

Jalan Sufi , jalan yang ditempuh oleh semua para waliyullah merupakan jalan yang membawa kepada Qalbin Salim sebab “tidak ada kekhuatiran dalam diri mereka “ (surah Yunus , ayat 62-63).

Jalan tasawuf mereka banyak dibincang dalam kitab-kitab muktabar dalam tiga peringkat iaitu: i) Bahagian awal – membahas tentang memperbetulkan amal ibadah , kusyu’ serta adab . ii) Bahagian pertengahan – membicarakan cara mujahadah diri serta penyucian diri , hati serta ahwalnya , menghilangkan sifat mazmumah dan menggantikan dengan sifat mahmudah.

Kedua-dua bahagian (i) dan (ii) dihurai dalam kitab Ihya’ karangan Imam al-Ghazali dan Qutul Qulub karangan Abu Thalib Makki dan seumpamanya. Ilmu ini dinamakan ilmu muamalah. (iii) Bahagian akhir –membicarakan tentang makrifat , rabbaniyah , ilmu wahbiyyah , dzauq wujdaniyyah serta hakikat kasyaf. Sebahagian besar kitab karangan Ibn Arabi dalam kategori ini contohnya Futuhat al Makiyyah dan Fushush al Hikam. Kitab Insan Al kamil karangan Abdul Karim Jili juga termasuk dalam kategori ini. Kitab-kitab ini harus dipelajari secara berguru khasnya guru yang mursyid. Ilmu bahagian ini dinamakan ilmu makrifat.

Ilmu Sufi adalah ilmu yang haq , sebagaimana alam ghaib itu juga adalah haq, malah lebih kekal daripada alam fizikal ini. Kehebatan sains dan teknologi jika tidak islami ( contohnya proses PengIslaman Ilmu tidak dilaksanakan) menjadi Istidraj , bukan anugerah.

Jika demikian , semakin tinggi sains dan teknologinya semakin pula bertambah masalah ekonomi dan masalah sosialnya dan semakin runtuh akhlak masyarakatnya. Ini berlaku kerana ummah sendiri telah meninggalkan aspek tarekat, hakikat dan makrifat dalam beragama sehinggakan hanya menekankan aspek syariat sehinggakan menghablur menjadi ritual kehidupan.

Kontroversi timbul apabila terdapat “ulama” yang tidak pernah melalui jalan Sufi lalu memberi tohmahan dan pemfitnahan kepada golongan Sufi. Banyak buku ditulis bagi menjawab tohmahan terhadap pertuduhan yang melulu ini dan pada zaman moden ini tulisan ulama Mekah yang terkenal ( meninggal dunia 29 Oktober 2004) ialah Syed Muhammad Al-Alawi al-Maliki yang menulis kitab “ Mafahim Yajibu An Tusohhah” ( Kefahaman Yang Wajib diPerbetulkan).

Antara tulisannya dalam kitab ini menyatakan:

Sesungguhnya Tasawwuf telah teraniaya , ditohmah dan dipandang serong. Tidak ramai yang memandangnya dengan pandangan tepat dan betul. …. Ramai orang yang mengaku dan mendakwa mereka di atas hamparan kebenaran tetapi kebenaran itu sendiri berlepas diri daripada mereka…..Mereka berkata : Sifulan tidak boleh dipercayai , hanya kerana dia seorang Sufi.

Yang menghairankan orang yang begitu lancang mencaci tasawwuf dan menentang ahli Sufi mengutip kata-kata dan perbuatan ahli Sufi untuk dijadikan teks ucapan dan pengajaran mereka di atas mimbar-mimbar. Mereka berkata : telah berkata Fuhail ibn Iyad , telah berkata Junaid al-Baghdadi, telah berkata Sahl al Tustari dan seterusnya.

Mereka inilah yang telah melayakkan diri mereka menerima gelaran yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai “ Orang yang kenyang makan apa yang tidak diberikan kepadanya , bagaikan orang yang memakai dua helai baju palsu”.

Bukti tentang Sufiphobia orang Islam sendiri terhadap golongan Sufi khasnya di kalangan pengkaji moden ( berbanding pengkaji tradisional) ialah sedikitnya orang Islam yang mengkaji Sufi handalan seperti Ibn Arabi, Sahl Tustari , Hakim Tirmizi dan lain-lain (lihat Lampiran 4). Keadaan ini harus diperbetulkan.

Sekian, wallahu a’lam bissawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan