Khamis, 17 Mac 2011

FUTUHAT AL-MAKIYYAH Ibnu Arabi – ENTRI 8 Dipetik dari Jalansufi.com

ALLAH MELAMPAUI SEGALA SESUATU


Mengenai Allah yang tanzih (putus hubungan) daripada sebarang bentuk tasybih (ada-perhubungan) atau penjelmaan, terkandung di dalam ayat-ayat yang menunjukkan dengan jelas keadaan-Nya di dalam Kitab-Nya atau melalui lidah Rasul-Nya.

"Maha suci Allah dan maha tinggi, melampaui apa yang mereka katakan." (17:43).

Pada penyaksian hamba terhadap Tuhannya
dalam ketulenan dan putusnya kekuatan
dan ketinggiannya daripada dihubungkan dengan "bagaimana"
atau yang seumpamanya
adalah petanda yang memberikan keputusan muktamad
tentang kedudukan hamba dan pujiannya
keteguhan pengetahuan dan pengesahannya
dan penolakan terhadap tuduhan dan perubahan

[Segala pengetahuan dibekalkan kepada Akal Awal]

Ketahuilah yang menanggung segala ilmu, baik mengenai yang di langit mahupun yang di bumi, adalah Akal yang menerimanya daripada Allah s.w.t tanpa perantaraan. Tiada sebarang pengetahuan mengenai makhluk alam tinggi dan alam rendah tersembunyi daripadanya. Semuanya datang daripada kurniaan dan kemurahan-Nya, dan daripada penerangan-Nya, cahaya-Nya dan ketulenan limpahan-Nya.

Akal mempelajari daripada Allah s.w.t dan ia mengajar kepada diri. Diri yang belajar daripada Akal melahirkan tindakan. Ia meliputi sekalian pengetahuan mengenai apa yang berhubungan dengan Akal , iaitu segala yang di bawah daripadanya. Kita disempadani oleh "apa yang di bawah daripadanya" dalam hubungan pembelajaran yang dikatakan. Berhati-hati bila kamu fikirkan, ingatlah Allah s.w.t berfirman, "sehingga Kami tahu" 47:31).Dia yang mengetahui segala-galanya, oleh itu akuilah sumber segala sesuatu.[...melainkan dunia yang membingungkan]

Ketahuilah bahawa dunia yang menipu-daya ini tidak mempelajari apa-apa daripada Akal Awal, dan Akal Awal tidak ada kuasa terhadap mereka yang dibingungkan oleh cinta dunia. Mereka dan dunia yang membingungkan itu berada pada taraf yang sama, seperti individu-individu yang keluar daripada kawalan Kutub, walaupun Kutub itu sendiri adalah satu daripada individu-individu. Tetapi Akal dipilih untuk menyampaikan sebagaimana Kutub dipilih bagi pengangkatan di kalangan individu.[...dan melainkan pengetahuan mengenai tauhid tajrid (pengasingan)]

Prinsip pengajaran Akal kepada apa yang di bawahnya menjadi kenyataan pada semua, bahawa tiap sesuatu ada perhubungan dengan pengetahuan Akal - melainkan bagi ‘tauhid tajrid (tauhid pengasingan)'. Kaedah tauhid tajrid berbeza daripada segala perkara yang diketahui dalam semua hal, kerana dalam kaedah ini tidak ada sebarang hubungan di antara Allah s.a.w dengan ciptaan-Nya, walaupun jika ‘hubungan' itu digunakan pada hal tertentu sebagaimana yang dilakukan oleh Imam Abu Hamid al-Ghazali di dalam bukunya dan juga oleh beberapa orang lain.

Itu adalah satu gaya penyampaian, dan ianya sangat berbeza daripada kebenaran. Hubungan apakah yang ada di antara sesuatu yang disempadani oleh masa dengan yang melampaui masa. Atau bagaimanakah diadakan persamaan terhadap Dia yang tidak mungkin ada persamaan, dengan sesuatu yang menerima persamaan. Ini adalah tidak mungkin seperti kata Abu'l-‘Abbas ibn al-‘Arif as-Sanhaji dalam Mahasin al-Majalis, "Tidak ada perhubungan di antara Allah dengan hamba kecuali urusan. Di sana tidak ada asbab melainkan keputusan dan tidak ada masa melainkan azali.

Apa juga yang lain adalah kegelapan dan kekaburan yang menipu daya." Satu kelainan mempunyai ‘pengetahuan' menggantikan ‘kegelapan'. Perhatikanlah betapa unggulnya perkataan ini dan betapa lengkapnya makrifat Allah ini dan betapa tulen musyahadahnya. Semoga Allah mengurniakan faedah kepada kita melalui perkataannya.

[Kelemahan akal dalam mencapai makrifat tentang Allah]

Pengetahuan tentang Allah terlalu sukar bagi keupayaan yang ada pada akal dan diri untuk mengerti, melainkan sekadar pengakuan bahawa Dia wujud dan suci. Akal yang waras mengakui bahawa Allah berlainan daripada apa yang dikatakan tentang-Nya, baik dalam bentuk nyata atau khayalan, dalam apa juga anasir atau apa sahaja.

Khayalan tidak sampai kepada kebenaran tentang-Nya. Ungkapan juga tidak mampu menerangkan hal-Nya seperti menerangkan tentang makhluk. Ianya digunakan itu hanyalah untuk memudahkan pendengar memahami akan keteguhan wujud menurut apa yang mampu diterima oleh pendengar, bukan untuk mengemukakan yang sebenarnya tentang Yang Haq. Allah berfirman,
"Tiada sesuatu menyerupai-Nya" (47:19).

Walau bagaimanapun, mengenal Allah adalah fardu bagi kita menurut peraturan Syariat kerana Allah berfirman kepada Rasulullah s.a.w, "Ketahuilah, bahawa tiada Tuhan melainkan Allah" (47:19).

Dia mengatakan, "Kenalilah Aku melalui perkhabaran daripada-Ku, yang harmoni dengan renungan kamu supaya kepercayaanmu akan melahirkan pengetahuan yang benar, seperti boleh jadi benarnya pengetahuan yang menimbulkan tidak percaya yang datang melalui kepastian". Jadi, keadaannya adalah demikian.

Oleh kerana sebahagian orang berpandangan dan berpendapat demikian, kita renungkan tentangnya untuk melihat bagaimana makrifat mengenai-Nya boleh dicapai. Kita kaji secara adil dan munasabah. Akal yang sempurna tidak berupaya mencapainya melalui usaha dan ikhtiar yang gigih. Kita hanya mencapai kepada makrifat mengenai-Nya melalui ketidakupayaan untuk mengenali-Nya.

Sesuatu yang wujud yang tidak menyerupai sesuatu dan tidak boleh difikir dan dikhayalkan, bagaimana mungkin akal menguasai perkara ini? Hal ini tidak boleh berlaku sekalipun pengetahuan mengenai kewujudan-Nya diyakini sunguh-sungguh. Kita tahu bahawa Dia wujud dan Esa pada Zat-Nya. Ini adalah pengetahuan yang dituntut daripada kita, bukanlah kita mengetahui hakikat Zat-Nya yang Dia ketahui, yang Dia miliki.

Ini adalah pengetahuan tanpa pengetahuan, yang dituntut daripada kita. Dia tidak menyerupai sebarang makhluk dalam pandangan akal, dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya. Ia menjadi fardu kepada kita apabila dikatakan kepada kita, "Ketahuilah tiada Tuhan melainkan Allah" untuk mengetahui apakah pengetahuan itu. Kita mempelajarinya dan kita mempelajari apa yang mula-mula difardukan kepada kita untuk mengetahui apakah pengetahuan itu.

[Induk kepada tuntutan ilmu pengetahuan]

Ada empat hujah ilmu: iakah?, apakah?, bagaimanakah?, mengapakah?. ‘Ia?' dan ‘mengapa?' adalah tuntutan kerohanian yang satu disusuli oleh apakah ianya. ‘Ia?' dan ‘mengapa?' adalah dua sumber bagi anasir yang mudah sementara ‘apakah ianya?' adalah sesuatu yang boleh dikatakan kompleks.

Tuntutan yang empat ini tidak boleh ditanyakan tentang Allah, sesuai dengan kenyataan kerana ianya tidak benar bahawa sebarang pengetahuan tauhid boleh diketahui melainkan melalui penafian pada apa yang wujud kecuali Dia. Oleh itu Dia mengatakan, "Tiada sesuatu menyerupai-Nya"(41:11) dan "Maha suci Tuhan kamu, Tuhan yang memiliki benteng yang teguh, melampaui apa yang mereka sifatkan"(37:180).

[Pengetahuan tentang penafian adalah pengetahuan tentang Allah]

Pengetahuan tentang penafian adalah pengetahuan tentang Allah. Begitu juga kita tidak dibenarkan bertanya "bagaimana" mengenai roh. Ianya adalah terlalu seni untuk dipersoalkan dan hakikatnya berlainan daripada apa yang diucapkan. Alat bagi pertanyaan yang tidak dapat diajukan kepada roh, tidak boleh juga diajukan kepada Allah. Yang Haq tidak mampu diketahui melalui tuntutan-tuntutan ini.

[Yang kelihatan melalui zat dirinya, yang kelihatan melalui perbuatannya dan yang tidak kelihatan sama sekali]

Jika kita pandang kepada yang selain Allah kita akan temui dua kategori. Kategori pertama adalah yang kelihatan melalui zat dirinya, iaitu sesuatu yang padat dan boleh dicapai oleh pancaindera. Keduanya adalah yang kelihatan melalui tindakannya, iaitu sesuatu yang seni dan dapat ditangkap oleh akal. Yang dapat ditangkap oleh akal lebih tinggi daripada yang dapat ditangkap oleh pancaindera: zatnya terlalu seni untuk menjadikan dirinya kelihatan, tetapi tindakannya ada kenyataan.

Keadaan ini adalah keadaan makhluk, Allah bukan makhluk. Dia terlalu murni untuk disaksikan Zat-Nya seperti kategori pancaindera, ataupun tindakan-Nya untuk disamakan dengan kategori seni, kerana tidak ada hubungan langsung di antara-Nya dengan makhluk ciptaan-Nya. Zat-Nya tidak kelihatan kepada kita untuk menjadikan-Nya seperti makhluk yang dapat ditangkap oleh pancaindera, tidak juga perbuatan-Nya untuk menjadikan-Nya seperti makhluk yang dapat ditangkap oleh akal.

Perbuatan Yang Haq adalah permulaan kepada sesuatu bukan daripada sesuatu. Makhluk rohani yang seni memperolehi sesuatu daripada sesuatu. Jadi, apakah hubungan keduanya? Bila hubungan tidak mungkin pada perbuatan, maka semestinya juga tidak mungkin pada zat.

Jika kamu berhasrat untuk mencapai sebahagian daripada kesedaran dalam tahap ini, perhatikan kepada kesan tindakan menurut tahap kesan-kesan tersebut, misalnya kesan kerja-tangan seperti baju dan kerusi. Kita dapati tukang itu tidak dikenali melainkan dia sendiri memberi gambaran akan kewujudannya dan ilmunya mengenai kerja-tangannya.

Begitu juga dengan kesan pembentukan makhluk - cakerawala dan bintang-bintang - yang tidak mengenali penggubahnya dan yang membentuknya. Ia adalah Diri Universal yang melingkungi mereka. Begitu juga dengan kesan semulajadi - seperti penghasilan bahan logam, tumbuh-tumbuhan dan haiwan, yang memberi kesan semulajadi yang menjadi sebahagian daripada kesan pembentukan makhluk. Tetapi mereka tidak dapat mengongkong sesuatu yang bertindak bagi mereka, iaitu cakerawala dan bintang-bintang.

Jadi, pengetahuan mengenai cakerawala bukanlah apa yang kamu lihat pada jisimnya dan bukan apa yang kamu saksikan mengenai mereka. Di manakah jisim matahari dalam hubungan dengan dirinya sendiri pada pandangan kita yang melihatnya? Pengetahuan mengenai cakerawala datang daripada roh dan tujuannya yang Allah bawakan kepada kewujudan daripada Diri Universal yang meliputi, yang menjadi asbab bagi cakerawala dan apa yang terkandung di dalamnya.

Begitu juga dengan kesan penjelmaan Diri Sejagat atau Diri Universal, menjelma daripada Akal sebagai Dihya[1}, bentuk yang datang daripada pembentukan Jibrail. Diri Universal tidak mengetahui penjelmaan itu daripada apa kerana ia adalah di bawah jagaannya dan dilengkunginya lantaran ia adalah satu daripada khawatirnya.

Jadi, bagaimana Diri Universal tahu apa yang di atasnya sedangkan apa yang pada Diri itu daripada apa yang di atasnya hanyalah apa yang di dalamnya? Ia hanya mengetahui apa yang ada dengannya. Jadi, ia mengetahui dirinya, tetapi tidak penyebabnya!

[1] Dihya al-Kalbi, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. Jibril pernah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w denganmenjelma dalam rupa Dihya al-Kalbi.

Ia juga sama dengan kesan permulaan yang dinamakan Hakikat Muhammadiah, atau ada yang memanggilnya Akal Awal. Ia adalah Qalam Tertinggi yang Allah jadikan daripada tiada. Ia tidak mempunyai keupayaaan dan dihjijab daripada menyaksikan Pembuatnya melebihi daripada kesan yang sudah dinyatakan kerana di antara setiap kesan dan pembuatnya, ada sesuatu hubungan dan persamaan. Jadi, ia tahu mengenainya menurut kadar hubungan di antara mereka, samada dalam bentuk yang nyata atau sebaliknya.

Di sana tidak ada hubungan di antara yang pertama diciptakan dengan Yang Hakiki - maha suci Dia! Kesan yang muncul daripada penyebab tidak berupaya mengenali Pembuat atau Penyebabnya. Ketidakupayaan kesan tersebut, yang menyerupai penyebabnya yang aktif dalam beberapa hal, adalah tidak berupaya untuk menyaksikannya dan mengetahuinya. Jadi, fahamilah hal ini dan hayatinya. Ia amat berguna bagi urusan tauhid dan ketidakupayaan untuk menghubungkan pengetahuan yang sementara kepada Allah Yang Maha Besar.

[Lima bakat dan pengertiannya yang sebenar]

Manusia memperolehi segala pengetahuan melalui salah satu daripada lima bakat: deria yang lima - bau, rasa, sentuh, dengar dan lihat. Pandangan menyaksikan warna, benda-benda berwarna dan individu menurut had dan jarak jauhnya.

Apa yang dipandang satu batu jauhnya berbeza dengan apa yang dipandang dua batu jaraknya. Apa yang dipandang 20 langkah tidak sama dengan yang satu batu. Apa yang dipandang yang hampir seperti tangan sendiri, tidak sama dengan apa yang dipandang 20 langkah jaraknya. Pada jarak 2 batu disaksikan bentuk individu tetapi tidak dapat dikenali samada ianya pokok atau manusia. Pada jarak satu batu ia dikenali sebagai manusia. Pada jarak 20 langkah dikenali pula samada putih atau hitam. Bila saling berhadapan dikenali dengan pasti samada biru atau biru air laut. Begitulah keadaan semua pancaindera dalam pengertiannya menurut dekat atau jauh

Pencipta tidak dapat ditangkap oleh bakat pancaindera dalam kita cuba mengenali-Nya. Kita tidak boleh mengenali-Nya melalui keupayaan bakat pancaindera. Bakat khayalan hanya menerima apa yang dibekalkan oleh bakat pancaindera, samada gambaran atau bentuk dalam fikiran, daripada apa yang bakat pancaindera bekalkan.

Jalan manusia akal dalam menyingkapkan tentang Allah berakhir di sini (melalui bakat khayalan dan fikiran). Ini adalah ungkapan mereka (manusia akal), bukan ungkapan kami. Sekalipun jalan mereka benar, kami sandarkan pendapat tersebut kepada mereka dan ia diungkapkan oleh mereka. Bakat fikiran dan khayalan ini akan berterusan selagi ia menerima persepsi daripada bakat pancaindera (deria). Kami berpendapat apa juga perkaitan deria dengan Allah tidak boleh dijadikan pegangan, begitu juga perkaitan fikiran dan khayalan dengan-Nya.

Bagi kebolehan bertafakur pula, manusia hanya mampu menyatakan perkara-perkara yang ada dengannya, yang dia pelajari dengan derianya, persepsi akal dan daripada jalanan fikiran tentang perkara-perkara yang di dalam bidang imaginasinya sesuai dengan pengetahuan tentang benda-benda tersebut yang padanya dia melihat perhubungan. Di sana tidak ada hubungan di antara Allah dengan ciptaan-Nya. Jadi, pengetahuan mengenai-Nya tidak terpakai melalui cara renungan. Oleh kerana itu orang arif melarang berfikir tentang Zat Allah.

Bagi bakat akal pula, akal tidak berupaya menyaksikan-Nya. Akal hanya mampu menerima apa yang diketahuinya secara spontan atau renungan yang sesuai dengan kita. Fikiran tidak ada keupayaan untuk mengkaji tentang-Nya melalui pemikiran dan renungan, jadi akal bukanlah alat yang sebenar untuk mengkaji mengenai-Nya melalui renungan. Apa juga akal itu hadnya ialah untuk memahami dan mengambil apa yang mampu diperolehinya.

Jadi, mungkin Yang Haq akan kurniakan penyingkapan mengenai-Nya dan akal akan faham, tetapi bukan melalui pemikiran. Ini bukanlah mustahil. Allah kurniakan pembukaan ini kepada sesiapa yang Dia kehendaki dari kalangan hamba-Nya. Akal tidak memiliki sepenuhnya persepsi tentang makrifat, tetapi ia menerimanya apabila didatangkan kepadanya. Jadi, tiada pembuktian dan peruntukan didasarkan padanya kerana penyingkapan (makrifat) adalah melampaui persepsi akal.

Sifat-sifat yang wajib tidak boleh dinyatakan kerana ianya melampaui perumpamaan dan ibarat "Tidak ada sesuatu menyerupai-Nya" (41:11).
Akal yang tidak dibukakan tentang makrifat ini bertanyakan akal lain yang dibukakan sebahagian kepadanya. Tetapi ianya bukanlah di dalam keupayaan akal yang ditanyakan itu untuk menerangkannya, malah ianya adalah tidak mungkin. Sebab itulah Abu Bakr as-Siddiq mengatakan, "Ketidakupayaan memahami itulah pemahaman." Kenyataan ini ada dua tahap, jadi fahamkanlah.

Sesiapa yang mencari Allah melalui pemikiran dan pengkajiannya akan sesat. Walau bagaimanapun, persediaan yang ada dengan akal mungkin mencukupi untuk menjadikannya sebagai bekas yang sesuai bagi menerima apa yang Allah kurniakan kepadanya, fahamkanlah!

Bagi keupayaan mengingat pula, tiada jalan baginya untuk mencapai pengetahuan tentang Allah. Ia mengingati apa yang telah diketahui oleh akal sebelumnya dan kemudian mengabaikannya atau melupakannya dengan tidak disedari. Jadi bakat atau daya ingatan tidak mempunyai jalan kepada-Nya.

Jadi, pengertian manusia terbatas kepada kemanusiaan itu sendiri, apa yang zat dirinya berikan kepadanya dan apa yang dia boleh pelajari. Selebihnya adalah persediaan akal untuk menerima apa yang Allah kurniakan daripada makrifat-Nya. Manusia tidak akan mengenali Yang Haq melalui pembuktian secara logik - melainkan sekadar mengakui Dia Wujud dan Dia adalah Yang Esa yang disembah.

Pemikiran manusia tidak berupaya untuk memikirkan sesuatu melainkan perkara yang difikirkan itu sudahpun ada dengannya. Jika tidak kerana itu ia tidak akan memikirkannya sama sekali dan tidak juga mengenalinya. Oleh kerana manusia tidak mengenali sesuatu melainkan dia memiliki sesuatu menyamai perkara yang dikenali itu, sebenarnya manusia hanya mengenali apa yang menyerupainya. Di sana tidak ada sesuatu menyamai Pencipta dan tidak ada apa yang mempunyai sesuatu menyerupai-Nya, jadi Dia tidak akan dikenali.

[Benda-benda alam semulajadi hanya menerima bekalan daripada yang seumpama dengannya]

Sebahagian daripada perkara yang menyokong apa yang telah kami katakan ialah benda-benda semulajadi hanya menerima makanan daripada benda-benda yang daripada jenisnya juga, dan tidak sekali-kali menerima makanan daripada jenis lain.

Contoh bagi perkara ini ialah bahan-bahan daripada galian, tumbuh-tumbuhan dan haiwan adalah campuran daripada jenisnya, dan tidak menerima makanan daripada sumber lain. Ini adalah kerana sebahagaian daripadanya adalah untuknya. Jika makhluk mahu membuat makanan untuk tubuhnya, yang terdiri daripada bahan-bahan ini, daripada anasir yang lain daripada bahan-bahan tersebut, atau apa yang dicampurkan daripada yang lain, ia tidak akan dapat melakukannya.

Kerana ianya hanyalah mungkin bagi tubuh yang asli menerima makanan daripada sesuatu yang dicampurkan daripada anasir-anasir yang serupa dengannya, jadi adalah tidak mungkin bagi seseorang untuk mengetahui sesuatu melainkan dia memiliki sesuatu menyerupainya.Tidakkah kamu perhatikan diri hanya menerima daripada akal apa yang ia kongsikan dengannya dan apa yang menyamainya? Ia tidak tahu apa yang ia tidak sedikitpun berkongsi dengannya.

Tiada sesuatu yang dinisbahkan kepada Allah ada dengan sesuatu yang lain, hal ini tidak mungkin dalam segi apa sekalipun, jadi tiada sesiapa yang mengenali-Nya melalui dirinya dan renungannya. Rasulullah s.a.w bersabda, "Allah terhijab bagi akal sebagaimana Dia terhijab bagi mata. Makhluk alam tinggi mencari-Nya sebagaimana kamu mencari-Nya."

Jadi, Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa akal tidak ada pengenalan tentang-Nya melalui renungannya, tidak juga melalui mata dalamnya dan tidak juga melalui mata luarnya. Inilah yang dinyatakan sebelum ini dalam tajuk ini. Segala puji bagi Allah yang mengilhamkan kita dan mengajar kita apa yang kita tidak tahu. Kemurahan Allah maha luas.

[Tanzih ('tiada-hubungan') dan penafian terhadap tasybih (penyifatan dan perhubungan)]

Jadi, pegangan mestilah berkonsepkan ‘tiada-hubungan' (tanzih) dan ‘penafian' terhadap penyifatan dan perhubungan. Sesiapa dari kalangan yang menggunakan perhubungan dan menjadi sesat adalah disesatkan oleh pemahaman tentang ibarat dan menggunakan ayat-ayat dan hadis yang tidak difahaminya tanpa melihat kepada aspek tanzih ('tiada-perhubungan') yang Allah fardukan. Itu membawa mereka kepada kejahilan yang sebenar dan kesesatan yang nyata.

Jika mereka berpegang kepada yang benar dan membiarkan hadis dan ayat-ayat berkenaan tanpa mengubahsuai apa-apa padanya kepada sesuatu yang lain dan menyerahkan pengetahuan itu kepada Allah dan Rasul-Nya dan berkata, "Kami tidak tahu", itu adalah lebih baik bagi mereka.

Firman Allah semestinya memadai bagi mereka, "Tiada sesuatu menyerupai-Nya" (41:11).

Bila sesuatu hadis sampai kepada mereka, hadis yang menceritakan tentang perhubungan yang menggambarkan Allah seumpama sesuatu, Dia menafikan persamaan itu dalam hubungan Diri-Nya. Jadi, yang tinggal adalah hadis itu memiliki satu aspek ‘tiada-hubungan' (tanzih) yang Allah akui dan ia dibawa kepada kefahaman orang Arab yang melalui lidah Arab Quran dibukakan.

Sebenarnya tidak kedapatan satu ungkapan pun di dalam hadis atau ayat yang boleh dijadikan hujah bagi menegakkan pegangan ‘ada-hubungan'. Apa yang ditemui ialah ia menyokong berbagai-bagai aspek, ada yang menunjukkan kepada ‘ada-hubungan' dan ada yang menunjukkan kepada ‘tiada-hubungan'.

Penterjemah ibarat atau misal menggunakan ungkapan berkenaan dengan memaksudkan ‘ada-hubungan' secara menyalahi maksud sebenar ungkapan tersebut kerana dia tidak memahami kedudukan ungkapan berkenaan menurut kehendak tata-bahasa.

Dia telah melanggar peraturan Allah apabila dia meletakkan sesuatu yang tidak benar kepada-Nya. Insya' Allah, kita akan bawakan sebahagian hadis yang menunjukkan kepada ‘ada-hubungan' tetapi sebenarnya tidak bermaksud demikian. "Kepunyaan Allah bukti yang jelas nyata. Jika Dia kehendaki Dia beri petunjuk kepada kamu semua." (6:149).

[Tasybih ('ada-hubungan') dan penyifatan dalam ungkapan Sunnah]

Contoh yang demikian ialah sabda Rasulullah s.a.w,"Hati orang mukmin berada di antara dua jari Allah." (A-Tarmizi) Akal melihat kepada apa yang diperlukan oleh keadaan sebenar dan kiasan, dan anggota adalah mustahil bagi Allah! ‘Jari' dalam dalam ungkapan ini boleh difahamkan sebagai anggota ataupun rahmat.

Pengembala[2] berkata Kelemahan tongkat, dari orang Badwi,
kamu melihatnya atas merek bila manusia yang tidak mendapat rahmat berakhir dengan kemarau [2] ia-itu pengembala yag baik menjaga untanya dengan baik.

Dia mengatakan, "Kamu melihatnya atas mereka" menunjukkan kepada rahmat secara menjaga mereka dengan baik. Bila orang Arab berkata, "Alangkah baiknya jari si anu menjaga hartanya", ia bermakna hasilnya yang membuat hartanya bertambah lantaran pengurusan yang baik.

Menggerakkan sesuatu benda dengan tepat adalah dengan menggunakan jari kerana saiznya kecil dan sesuai untuk kerja yang demikian. Jadi pergerakannya lebih kemas daripada tangan dan bahagian yang lain. Bila Allah balikkan hati hamba-Nya, ia adalah pergerakan yang tepat. Rasulullah s.a.w sangat memahami tentang orang Arab, dan penyampaiannya adalah dengan cara yang mereka faham.

Bagi kita, sesuatu benda digerakkan dengan tangan, baginda menggunakan pergerakan dengan ‘jari' kerana jari adalah bahagian tangan, dan lebih pantas. Rasulullah s.a.w bermunajat,"Wahai Yang membalikkan hati-hati, jadikan hatiku teguh di dalam jagaan-Mu!" (Ibnu Majah).

Allah membalikkan hati-hati bermaksud apa yang Dia jadikan iaitu kecenderungan hati kepada kebaikan dan kecenderungannya kepada kejahatan. Bila seseorang menyedari perubahan dalam hatinya ini bermaksud ‘Allah membalikkan hati'. Pengetahuan manusia tidak berubah daripada dirinya sendiri. Sebab itulah Rasulullah s.a.w mengatakan, "Wahai Yang membalikkan hati-hati, jadikan hatiku teguh di dalam jagaan-Mu!"

Merujuk kepada hadis ini, salah seorang daripada isteri-isteri baginda s.a.w bertanya kepada baginda, "Adakah engkau takut, wahai Rasul Allah?". Baginda s.a.w menjawab, "Hati orang mukmin berada di antara dua jari Allah",
jadi Rasulullah s.a.w menunjukkan kepada kecepatan pertukaran daripada beriman kepada tidak dan apa yang terkandung pada kedua-duanya. Allah berfirman, "Allah mengilhamkan kepada mereka kejahatan dan kebaikan" (91:8).

Ilham ini adalah pertukaran dan jari-jari itu adalah kecepatannya. Maksud bagi dua ('dua jari') adalah kecenderungan kepada kebaikan dan rangsangan kepada kejahatan.

Jadi, ‘jari-jari' hendaklah difahamkan sebagaimana kami telah terangkan. ‘Jari-jari'; boleh membawa maksud anggota dan boleh juga bermaksud rahmat. Jadi, daripada dua aspek ini yang manakah kamu guna-pakai bagi memenuhi kehendak konsep ‘tiada-hubungan'?

Samada kita hanya mendiamkan diri dan membiarkan maksud yang sebenar kepada Allah dan mereka yang Allah bukakan mengenainya - Rasul-rasul-Nya atau wali yang diilhamkan, selagi anggota itu dinafikan, atau mungkin kita dikuasai oleh rasa ingin tahu, walaupun kita menyandarkannya kepada golongan pembaharuan yang mengadakan penyerapan kepada penyifatan.

Rasa ingin tahu tidak boleh dijadikan alasan. Setiap orang yang mengetahui berkewajipan memperjelaskan aspek ‘tiada-hubungan' dalam ungkapan-unkapan berkenaan supaya membatalkan alasan-alasan mereka yang bermain-main dengan istilah.

Semoga Allah mengasihani kita dan mereka dan memberikan kepada mereka Islam! Jika kita membincangkan keadaan Allah yang tasybih, penerangannya hendaklah menjurus kepada hal yang sesuai bagi Allah - maha suci Dia! Ini adalah bahagian akal dalam tata-bahasa kesusasteraan.

Tiupan roh ke dalam hati
[Bahagian hati daripada dua jari menurut aspek ghaib]


‘Dua jari' adalah rahsia bagi kesempurnaan yang perlu yang kerananya apabila ia dibukakan pada Hari Kebangkitan, anak akan menangkap bapanya yang derhaka dan mencampakkannya ke dalam neraka tanpa berasa sedih dan dukacita, semuanya kerana rahsia ‘dua jari' ini, yang mempunyai satu makna sahaja walaupun perkataannya dua. Syurga dan neraka diciptakan dan nama diterangi ataupun digelapkan, dan Yang Maha Pengampun dan Yang Maha Keras menyata. Janganlah membayangkan ‘dua jari' ini sebagai dua jari daripada sepuluh jari!

Rahsia ini mesti ditonjolkan dalam bahagian ini. Hadis mengatakan, "Kedua-dua tangan-Nya adalah tangan kanan". Inilah rahsia penyingkapan makrifat. Ahli syurga mendapat dua nikmat: pertama ialah nikmat syurga dan satu lagi ialah nikmat hukuman terhadap ahli neraka di dalam api neraka. Begitu juga ahli neraka mendapat dua seksaan.

Kedua-dua golongan tersebut melihat Allah melalui Nama-nama seperti yang mereka lakukan di dunia. Mengenai ‘dua genggaman' yang datangnya daripada Rasulullah s.a.w, dalam hubungan dengan Allah ialah rahsia kepada apa yang telah kami nyatakan."Allah mengatakan kebenaran dan memberi petunjuk kepada jalan yang lurus".(33:4).

Genggaman dan tangan kanan: Allah berfirman, "Bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya" (39:67) dan, "Langit digulung dalam tangan kanan-Nya" (39:67).

Akal haruslah melihat sebagaimana keadaan kehendaki. Allah melarang Dia diadakan persamaan dan penyifatan yang mana akal yang lemah telah berbuat demikian lantaran keliru dengan ayat dan hadis. Kemudian, selepas ‘tiada-hubungan' (tanzih) di mana mereka yang berakal memahaminya, Allah berfirman, "Bumi sekaliannya berada dalam genggaman-Nya" (39:67).

Salah satu tata-bahasa Arab yang diketahui, apabila dikatakan, "Si anu berada dalam tangan saya (qabda)," ia bermakna berada di bawah penguasaan, sekalipun saya tidak memegang apa-apa daripada orang itu di dalam tangan saya. Tetapi keputusan saya boleh dikuatkuasakan ke atas orang tersebut, sama seperti keputusan saya terhadap apa yang benar-benar ada dalam tangan saya. Saya katakan, "Harta saya berada dalam tangan saya", bermakna ia adalah milik saya dan saya berkuasa ke atasnya. Saya boleh menggunakannya mengikut kehendak saya. Apabila saya menggunakannya, pada ketika itu saya boleh berkata, "Dalam tangan saya untuk menggunakan barang ini", sekalipun ianya adalah hamba saya yang menggunakan barang tersebut dengan izin saya.

Oleh kerana anggota badan adalah mustahil bagi Allah maka akal hendaklah mengubahsuai tanggapannya dan maksud ‘genggaman' itu. Ia adalah pemilikan yang dikuasai ketika itu, walaupun tidak ada apa dalam genggaman orang itu sebenarnya. Ia adalah pemilikan semata-mata. Alam maya ini berada dalam genggaman Yang Haq. Bumi dan akhirat ditentukan juga sebagai sebahagian daripada milik-Nya, seperti apa yang kamu maksudkan bila berkata, "Hamba saya berada dalam genggaman saya", walaupun hanya sebahagian sahaja daripada hamba itu dalam genggaman kamu.

Dalam pandangan kami ‘tangan kanan' adalah tempat bagi urusan mutlak yang kuat. ‘Kiri' tidak memiliki kekuasaan ke atas ‘kanan'. Jadi, dalam ayat Quran, tangan kanan menunjukkan kepada penguasaan penuh. Ia menunjukkan kepada kekuasaan untuk bertindak. Jadi, makna Quran sampai kepada orang Arab melalui ungkapan yang mereka ketahui dan mudah fahami. Penyair berkata:
Bila panji dikibarkan tanda kemenangan, ‘Araba mengambilnya dengan tangan kanan

Kemenangan bukanlah benda yang nyata, jadi anggota badan iaitu tangan kanan tidak dapat memegangnya. Perkataannya seolah-olah berbunyi: Seandainya kemenangan menampakkan panji yang nyata, tempatnya ataupun orang yang layak membawanya adalah ‘Araba al-Awsi (salah seorang orang Ansar), bermakna sifat kemenangan itu lengkap padanya. Orang Arab masih menggunakan ungkapan yang digunakan kepada anggota sedangkan perkara itu tidak dapat dipegang oleh anggota sebenar kerana maknanya boleh difahamkan.

Tiupan roh ke dalam hati
[Bahagian hati dalam tangan kanan dan kiri: menurut aspek ghaib]


Apabila Yang Haq menyatakan Diri-Nya kepada rahsia (sirr) hamba-Nya yang memiliki semua rahsia-rahsia dimasukkannya ke dalam golongan mereka yang bebas, dan hamba-Nya ini memiliki kebebasan mengambil tindakan yang perlu berhubung dengan tangan kanan. Kemuliaan tangan kiri adalah dengan sesuatu yang lain sementara kemuliaan tangan kanan adalah dengan zatnya sendiri. Kemuliaan tangan kanan adalah secara khitab atau diamanatkan padanya, sementara kemuliaan tangan kiri secara tajalli atau dilekatkan padanya.

Kemuliaan seseorang adalah dengan mengenali hakikat dirinya dan menjadi perihatin dengannya, dan ia adalah yang kiri = ‘kedua-dua tangan' berhubung dengan seseorang adalah kiri sebagaimana kedua-dua bagi Allah adalah tangan kanan!

Berhubung dengan makna penyatuan (ittihad), kedua-dua tangan hamba adalah kanan. Merujuk kepada tauhid, sebelah tangan Allah adalah kanan dan sebelah lagi kiri. Kadang-kadang aku berada dalam ‘persatuan' dan ‘persatuan pada persatuan' dan kadang-kadang aku berada dalam keadaan ‘perpisahan' dan ‘perpisahan pada perpisahan' menurut suasana warid yang dikurniakan kepadaku.

Satu hari aku temui orang yang dikurniakan nikmat (yaman),
dia adalah Yemeni.Jika aku temui seseorang yang menjangkau lebih jauh (mu'addhi), dia adalah ‘Adnani

Kehairanan, ketawa, gembira dan marah.

Kehairanan terjadi daripada sesuatu yang pada mulanya tidak diketahui apakah yang menghairankan itu, dan kemudian dia mengetahuinya dan itu yang membuatnya hairan. Lalu, ketawa berlaku padanya. Ini tidak mungkin bagi Allah. Tidak ada apa yang diluar daripada pengetahuan-Nya, jadi apabila sesuatu berlaku yang membuat kita hairan, kehairanan dan ketawa itu jika ditujukan kepada Yang Esa yang tidak boleh hairan atau ketawa, kerana sesuatu yang kadang-kadang membuat kita hairan dan ketawa, seumpama pemuda yang tidak ada nafsu muda, adalah sesuatu yang menghairankan, tetapi bagi Allah tidak ada kedudukan seumpama apa yang kita hairankan.

Ketawa dan kesukaan datangnya daripada penerimaan dan keseronokan. Jika kamu lakukan sesuatu untuk seseorang, dan kerana itu dia ketawa dan gembira, bermakna dia menerima perbuatan itu dan gembira dengannya. Jadi, ketawa-Nya dan kegembiraan-Nya adalah penerimaan-Nya dan keredaan-Nya terhadap hamba-Nya.

Begitu juga, kemurkaan-Nya tidak ada kena mengena dengan keadaan darah mendidih, hati yang mahu membalas dendam, kerana Dia terlalu suci untuk disamakan dengan keadaan pancaindera dan yang mungkin atau tidak mungkin berlaku. Ia merujuk kepada tindakan seseorang yang sedang marah dan dibenarkan untuk menjadi marah. Ia adalah hukuman-Nya kepada orang yang derhaka dan yang menentang perintah dan peraturan-Nya. Allah berfirman, "Dia murka kepadanya" bermakna Dia membalasnya sebagaimana dilakukan terhadap orang yang dimurkai. Jadi Yang Maha Keras itu murka dan kenyataan tindakan itu menunjukkan kepada nama berkenaan.

Senyum adalah sebahagian daripada ketawa. Hadis mengatakan, "Allah senyum kepada orang yang berjalan ke masjid untuk bersembahyang dan mengingati-Nya".

Oleh kerana dunia ini ditutup oleh makhluk yang nyata dan dipenuhi oleh yang selain Allah, mereka melakukan tindakan ini dalam keadaan tidak ada kehadiran Allah. Seandainya mereka datang kepada-Nya membawa salah satu daripada berbagai-bagai jenis kehadiran, Allah menghantarkan kepada hati mereka sebahagian daripada rasa kelazatan yang lahir daripada nikmat kehadiran (muhadara) itu, munajat dan musyahadah yang jelira dalam hati mereka.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Cinta Allah kepada kesejahteraan yang Dia kurniakan kepada kamu daripada rahmat-Nya."

Senyuman menggambarkan perbuatan-Nya ini kerana ia adalah kenyataan kepada kegembiraan bila kamu datang kepada-Nya. Bila seseorang memudahkan kamu untuk datang, tanda kegembiraan ialah menunjukkan kebaikan dan kasih sayang kepada kamu dan menghantarkan sebahagian nikmat yang dia miliki kepada kamu. Bila hal yang seperti ini muncul dari Allah kepada hamba-Nya, itu dikatakan 'senyuman'.


Kelupaan.

Allah berfirman,

"Dia melupakan mereka" (9:67).

Adalah mustahil bagi Allah untuk dihinggapi oleh lalai dan lupa. Tetapi bila Allah hukumkan mereka dengan seksaan yang kekal abadi dan tidak memberikan kepada mereka pengampunan, keadaan mereka yang demikian diistilahkan sebagai dilupakan oleh-Nya, seolah-olah Dia menjadi lupa kepada mereka.

Ini adalah perbuatan seseorang yang lupa dan seseorang yang tidak mengingati kesakitan hukuman yang dia sedang jalani. Ia adalah kerana semasa hidupnya di dalam dunia mereka lupa kepada Allah, jadi Dia membalasnya dengan perbuatannya sendiri dan perbuatannya kembali kepada dirinya sendiri sebagaimana wajarnya.

Maksud "Allah lupa kepada mereka" ialah Dia tidak menghiraukan mereka dan maksud "mereka lupa kepada Allah" ialah mereka tidak menghiraukan perintah Allah dan tidak melaksanakannya. Jadi, Allah tidak menghiraukan mereka di dalam api neraka, sementara sebahagian yang lain dikeluarkan-Nya daripada neraka.

Hampir dengan yang demikian ialah menggambarkan Yang Haq sebagai mengadakan tipu-daya dan memperolok-olok. Allah berfirman,

"Allah memperolok-olokkan mereka" (9:79), "Allah mengadakan tipu-daya" (3:54) dan "Allah akan perolok-olokkan mereka" (2:15). Nafas:

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Jangan mengutuk angin. Ia adalah daripada nafas Yang Maha Pemurah".

Baginda juga bersabda,

"Aku merasakan nafas Yang Maha Pemurah datang kepadaku dari arah Yaman".

Semua ini adalah kesenangan (tanfis). Ia adalah seumpama baginda s.a.w mengatakan, "Jangan mengutuk angin. Ia adalah sebahagian daripada apa Yang Maha Pemurah guna bagi menyenangkan (naffasa) atau mengangkat beban hamba-Nya". Rasulullah s.a.w bersabda"kamu dibantu dengan angin timur".

Ucapan baginda, "Aku merasakan nafas..." bermaksud Yang Maha Pemurah mengangkat daripadaku apa yang mendukacitakan daku. Ini adalah dukacita yang Rasulullah s.a.w rasakan tatkala berhadapan dengan mereka yang menolak seruan baginda dan menolak peraturan Allah. Baginda bersabda, "Dari arah Yaman", jadi kaum Ansar adalah di dalam golongan yang melalui mereka Allah hilangkan dukacita Rasul-Nya yang disebabkan oleh puak yang menolak seruan baginda s.a.w. Allah Yang Maha Besar tidak terikat dengan nafas dalam bentuk hembusan udara. "Allah melampaui apa yang mereka sifatkan tentang-Nya!" (17:43).

Bentuk atau rupa (sura).

Bentuk menunjukkan kepada jisim dan apa yang diketahui oleh manusia dan yang lain. Hadis yang menyifatkan bentuk Allah dalam sahih dan kitab-kitab yang lain, misalnya hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ikrima, Rasulullah s.a.w bersabda,
"Aku melihat Tuhanku dalam rupa jejaka tampan". Ini adalah suasana Rasulullah s.a.w, dan ia adalah ungkapan yang biasa digunakan dalam bahasa Arab. Ia adalah seperti sabda Rasulullah s.a.w, "Allah ciptakan Adam dalam rupa-Nya".

Ketahuilah nilai persamaan yang dibawa oleh Quran adalah istilah bahasa, bukan yang nyata, kerana persamaan yang nyata adalah mustahil bagi Allah. Zaid adalah singa dari segi kekuatan. Zaid adalah Zuhar dari segi puisi. Bila kamu gambarkan sesuatu dengan satu atau dua sifat dan kemudian menggambarkan yang lain dengan sifat tersebut, walaupun terdapat perbezaan yang jelas di antara mereka menurut keadaan yang sebenarnya, mereka memiliki hakikat sifat tersebut. Ini bermakna setiap mereka memiliki rupa bentuk yang lainnya dalam sifat itu khususnya. Jadi, fahamkan dan ambil perhatian!

Perhatikan, nilai-nilai yang ada dengan diri kamu itulah kamu gunakan terhadap-Nya - Maha Suci Dia! Tidakkah kamu ceritakan mengenai sifat-sifat kesempurnaan-Nya melalui nilai-nilai sifat yang ada dengan kamu? Fahamkan! Apabila kamu memasuki pintu yang membuang persamaan, kamu menafikan ketidaksempurnaan yang kamu tidak dibenarkan berbuat demikian, walaupun jika kamu berdasarkan kepada yang demikian sama sekali.

Walau bagaimanapun apabila seseorang meletakkan nilai yang demikian kepada dirinya, kamu menafikan penyifatan tersebut. Jika orang tersebut tidak ditutupi oleh bayangan, kamu tidak perlu menafikannya. Ketahuilah sekalipun rupa bentuk itu ada banyak pintu, namun kami tidak menyebutnya kerana kami mahu mengelakkan daripada menjadikan buku ini terlalu panjang.
"Allah mengatakan yang benar dan memberi petunjuk kepada jalan yang benar" (33:4).

Lengan.

Ia berkaitan dengan hadis Rasulullah s.a.w,

"Geraham orang kafir di dalam neraka seperti Bukit Uhud dan kulitnya setebal empat puluh hasta daripada hasta Yang Maha Perkasa".

Ini adalah penyifatan bagi memuliakan dengan kadar yang Allah sifatkan bagi-Nya. Ia seperti kamu katakan, "Benda ini beberapa hasta raja", bermaksud hasta terpanjang yang raja lakukan, walaupun misalnya lengan raja sama seperti lengan orang ramai dan hasta orang ramai lebih panjang daripada hasta raja. Dalam kenyataannya bukanlah lengannya, tetapi adalah anggaran pemilikannya dan kemudian dinisbahkan kepada pembuatnya, jadi ketahuilah! Menurut loghat bahasa "Yang Maha Perkasa" adalah Raja Yang Besar.

Begitu juga dengan kaki. "Yang Maha Perkasa meletakkan kaki-Nya (dalam neraka)". Kaki adalah anggota badan. Dikatakan, "Si anu memiliki kecekapan dalam perniagaan", bermakna kedudukannya teguh. Kaki adalah nama bersama dalam ciptaan, jadi kaki adalah satu bentuk penyifatan. Yang Perkasa itu adalah malaikat dan kaki itu kepunyaan malaikat kerana yang demikian tidak mungkin bagi Allah!

Bersemayam (istawa) menunjukkan kepada kestabilan, petunjuk dan yang menguasai. Kestabilan adalah salah satu nilai tubuh badan dan yang demikian tidak boleh digunakan bagi Allah! melainkan dalam aspek kestabilan. Petunjuk adalah kehendak dan ia salah satu sifat kesempurnaan. Allah berfirman,
"Dia mengangkat (istiwa) Diri-Nya ke langit," (3:29), iaitu bertujuan.
"Dia bersemayam di atas arasy" (7:54) bermaksud menguasai.

Terdapat banyak kepercayaan dan ayat-ayat, sebahagiannya kuat dan sebahagian yang lain lemah. Tidak ada hadis yang tidak mempunyai aspek tanzih ('tiada-hubungan'). Jika kamu mahu fahamkan dengan lebih mudah, maka letakkan pada diri kamu ungkapan yang menunjukkan kepada tasybih dan ambillah faedahnya atau rohnya atau apa yang datang daripadanya.

Letakkannya dalam apa yang sewajarnya bagi Yang Haq dan kamu akan memperolehi darjat tanzih ('tiada-hubungan') tatkala orang lain memperolehi tahap tasybih ('ada-hubungan'). Jadi, lakukan demikian dan sucikan pakaian kamu! Ini sudah memadai bagi kepercayaan berkenaan kerana tajuknya sudah panjang.

Tiupan Roh Kudus ke lubuk Hati
[Maksud simbolik bagi ungkapan tasybih di dalam Syariat]


"Tiupan roh yang paling suci ke lubuk hati" adalah dalam ungkapan yang terdahulu: bila yang berasa kagum (Raja) kagum terhadap yang muncul daripada bentuk-Nya (Adam), Penciptanya dalam kesedaran batinnya, kegirangan dalam kewujudannya, ketawa dalam penyaksiannya dan murka apabila dia membelakangi, tersenyum bila dia mendekati, melupakan keadaan luarannya dan menarik nafas. Jadi, Dia membiarkan kapal mengambil haluannya dan teguh di atas kerajaan-Nya dan mentadbir kerajaan-Nya dengan kekuasaan.
Apa yang Dia kehendaki berlaku dan kembali kepada Allah!

Ini adalah roh-roh yang terasing yang ditunggu oleh bentuk sokongan (ashbah). Bila tiba ketikanya, masa berakhir, langit bergoyang, matahari digulungkan, bumi digantikan, bintang-bintang berguguran, segala sesuatu berubah, Alam Akhirat muncul dan manusia serta yang lain dikumpulkan dalam keadaan asal (Lihat 19:10).

Kemudian bentuk-bentuk itu akan memberikan pujian, roh-roh akan bergembira, Yang Membuka akan menyata, pelita akan dinyalakan, arak berkilauan, cinta sejati (wudd) muncul, permohonan menghilang, sayap dikembangkan, dan Qubah [3] didirikan daripada permulaan malam hingga ke pagi. Perhentian yang sangat indah! Betapa gembiranya diri-diri yang dalam keadaan sempurna. Semoga Allah mengizinkan kita menikmatinya!


[3] Baitul Makmur pada langit ke tujuh menyerupai Kaabah pada bumi.

END.OF CHAPTER

Tiada ulasan:

Catat Ulasan