Salam para pembaca yang budiman..
fakir catatkan satu rencana yang dipetik dari blog sahabat utk renungan sdra semua.
QulAmirulHakim
Sebenar-benar diri adalah Muhammad
Assalamu'alaikum,
Sebenar-benar diri adalah Muhammad. Tidak ada diri yang benar melainkan Muhammad. Tidak berkata yang tidak benar melainkan Muhammad. Berkata yang benar-benar sahaja hanya Muhammad. Dinyatakan kebenaran Muhammad dalam Kalam-Nya yang agung. Dibenarkan Kalam Muhammad oleh Kekasih Muhammad jua. Dibenarkan perbuatan Muhammad oleh perbuatan-Nya. Dibenarkan kelakuan Muhammad oleh kelakuan-Nya.
Dari itu, dalam pengkajian hakikat tasawuf, si salik biasanya diingatkan, diminta mencari diri yang bernama Muhammad kerana hanya diri itu yang benar, hakikatnya benar, sumber kebenaran, tidak berkata-kata yang tidak benar. Tidak disiksa di dalam neraka kalau diri itu diri Muhammad. Tidak dimasukkan ke dalam syurga melainkan diri itu diri Muhammad.
Muhammad yang awal itulah Nur Muhammad. Dan Muhammad yang juga Nur Muhammad jualah yang menyaksikan Ketuhanan Yang Maha Esa. Dan dari Muhammad yang awal itulah darinya tajali oleh-Nya Muhammad yang akhir...Tajali sifat-sifat Jalal, Jamal dan Kamal pada Muhammad yang akhir. Masya-Allah, keindahan dan kemuliaan akhlaknya, kehalusan budi pekertinya, kesopanan dan kesantunan, kata-katanya, perbuatannya, kelakuannya tiada tolok-bandingnya. Muhammad yang akhir itulah yang membawa rahmat ke sekalian alam, manifestasi dari dirinya yang awal, manifestasi dari asbab Tuhan Sekalian Alam ingin Diri-Nya itu dikenali. Amat benarlah pendapat sesetengah ulamak yang mentafsirkan Sunat berpuasa hari Isnin itu berasbab kepada kelahiran Muhammad (SAW) pada hari Isnin.
Muhammad yang zahir dan Muhammad yang batin itu adalah pencarian pada si salik dalam berjalan menuju Tuhannya. Ilmu dalam mencari dan mengenal Muhammad yang awal dan Muhammad yang batin itulah ilmu mengenal diri. Asbab itulah dikatakan ulamak sufi, barangsiapa mengenal dirinya, mengenal ia akan Tuhannya Yang Esa...Akan tetapi tidak cukup mencari dan mengenal Muhammad yang zahir dan Muhammad yang batin. Harus ia mengikut Muhammad, yakni mengikut Sunnah-Sunnah Muhammad baik dari segi ibadat yang khusus, baik dari segi tutur-kata, baik dari segi perbuatan, baik dari segi kelakuan dan juga iktiqad. Tahu, kenal dan faham ia akan Muhammad yang zahir dan Muhammad yang batin, maka 'bersama-samalah ia' dengan Muhammad itu dalam beramal dan beribadat. Moga-moga rahmat Allah, moga-moga syafaat Rasulullah, dapat tercerna, terzahir akhlak dan kelakuannya itu akhlak Muhammad, akhlak Rasulullah.
Tahu, faham letak duduknya akan diri Muhammad itu amatlah penting kerana Muhammad itu mewarisi sifat-sifat Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah. Fatanah itu bijaksana, bukannya jahil. Maksudnya, kata-kata seperti 'hamba jahil', 'aku bodoh' itu harus digunakan pada letak duduk diri seseorang itu, jangan sampai ia duduk pada 'kedudukan Muhammad'...kelak tidak sama akan yang terzahir dengan akan yang terbatin, 'munafik hukumnya'...
Perjalanan bersama Muhammad adalah perjalanan mengenal Allah, hanya sanya Muhammad yang dikembarakan Allah Taala 'untuk menemui diri-Nya'...Tidak dapat mengenal Allah jika 'Muhammad tidak bersamanya'....Tidak dapat mengesakan Allah jika 'Muhammad tidak bersamanya'...Tidak dapat 'bersatu dengan Allah', jika 'dirinya bukan Muhammad', hanya kerana Muhammad sahaja yang boleh 'bersatu dengan Allah', hanya Muhammad yang mampu lenyap dalam hakikat Muhammad, dan akhirnya wujud DIA semata-mata.
Perjalanan akhir mencari dan mengenal Muhammad boleh dimaksudkan dalam maksud dan makna tersurat dan tersirat rangkap-rangkap akhir Selawat Azimiah. "Himpunkanlah di antara aku dan dia (Muhammad saw) sebagaimana Engkau menghimpunkan antara roh dan jasad, zahir dan batin sama ada ketika sedar atau tidur. Jadikanlah dia (Muhammad saw) wahai Tuhanku roh bagi zatku daripada sekalian wajah (keadaan) di dalam dunia ini sebelum hari akhirat, wahai Allah Yang Maha Besar".... Mereka itulah yang sempurna Dua Kalimah Shahadat, zahir dan batin, Insya-Allah.
Beruntunglah bagi mereka yang mengamalkan Selawat yang begitu agung ini. Beruntunglah bagi mereka yang lahir dewasa ini dan Selawat ini sudah disebarluaskan di sini-sana. Amat beruntunglah bagi mereka yang mengamalkan Selawat ini dan memperolehi barokah dan natijahnya....
wassalam.
*Artikel ini mengandungi banyak bahasa kiasan. Belajarlah daripada guru yang arif jika ingin kefahaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan