Rabu, 16 Mac 2011

FUTUHAT AL-MAKIYYAH Ibnu Arabi – ENTRI 7 Dipetik dari Jalansufi.com

PERMULAAN ALAM DAN KEDUDUKAN NAMA-NAMA YANG INDAH

Asbab Kepada Permulaan Alam Dan Kedudukan Nama-nama Yang Indah Dalam Alam Keseluruhannya



Dalam sebab kepada permulaan dan peraturannya,
dan penghabisan pembentukan dan pengertiannya,

Dan perbezaan di antara anasir-anasir tinggi dalam tempat asalnya
dan pemerintahnya,

Bukti yang menunjukkan Pencipta menggubahkan semuanya
melalui peraturan-Nya.

[Ketinggian tempat dan kehebatan Syurga]

Wali yang benar telah mengambil pengertian tentang permulaan alam dalam buku kami yang bertajuk, ‘Anqa' Mughrib fi ma'rifa khatmi'l-awliya' wa shamsu'l-Maghrib dan dalam buku kami bertajuk Insha' ad-Dawa'ir yang sebahagiannya kami tulis di rumah sahabat kami yang mulia (Imam Abu Muhammad ÔAbdu'l-'Aziz al-Mahdawi al-Qurashi) sewaktu kami mengunjunginya dalam tahun 598, dalam perjalanan kami mengerjakan hajji. Khadamnya, ‘Abdul-Jabbar (semoga Allah menaikkan darjatnya) menyalinkan untuk tuannya apa yang telah kami tuliskan. Saya telah pergi ke Makkah bersama-samanya dalam tahun itu untuk menyiapkannya di sana.

Buku ini (Futuhat) telah menarik kami daripadanya dan daripada yang lain kerana kami diilhamkan untuk menuliskannya, tambahan pula ada saudara-saudara kami dan para fuqara' meminta kami melakukannya kerana mereka ingin menambahkan pengetahuan mereka dan juga untuk mendapatkan berkat Rumah Suci ini, tempat yang dirahmati, tempat yang membawa petunjuk dan tempat yang kedapatan padanya tanda-tanda yang jelas.

Di tempat ini juga kami ingin mengenali seorang suci yang mulia, Abu Muhammad ‘Abdul-'Aziz (al-Mahdawi al-Qurashi), dengan berkat yang diberikan Makkah, dan ia juga adalah cara ibadat terbaik dan tempat yang paling mulia di muka bumi. Barangkali semangat yang lahir daripada rasa kerinduan akan muncul dan keinginan untuk menambahkannya akan turun.

Ia dibukakan kepada orang yang "diberikan segala perkataan" dan menyaksikan Tuhannya lebih hampir daripada "kadar dua busur panah", meskipun dengan anggaran kesempurnaan ini dan bahagian yang penuh,"Katakanlah, ‘Tuhan menambahkan pengetahuanku." (20:114)

Sebahagian daripada syarat awal bagi seseorang berilmu yang menyaksikan, iaitu ahli dalam setesen ghaib dan nyata, ialah dia mengetahui bahawa tempat tersebut (Makkah) mempunyai pengaruh yang kuat kepada hati nurani. Jika hati berada di mana-mana tempat di dalam dunia ini, keadaannya menjadi paling mulia dan lengkap di Makkah.

Sebagaimana tahap kerohanian berbeza-beza dalam keutamaannya, begitu juga dengan tahap jasmani. Adakah permata sama dengan batu, kecuali ia berada dengan orang tertentu? Seorang ahli pada makam ini yang telah disempurnakan menemui perbezaan pada yang demikian sebagaimana Yang Haq mengadakan perbezaan yang demikian. Adakah rumah yang dibina daripada batu dan jeramai sama dengan rumah yang dibina daripada emas dan perak?

Orang arif yang sampai adalah yang menyerahkan segala hak kepada yang berhak. Dia menjadi luar biasa dalam hayatnya dan menjadi orang arif dalam zamannya. Jadi, terdapat perbezaan yang besar di antara kota yang bangunannya adalah yeng menyelerakan nafsu dengan kota yang bangunannya adalah tanda-tanda yang jelas!

Sahabatku bersetuju bahawa kewujudan hati kita pada sesetengah tempat lebih berpengaruh daripada tempat yang lain? Semoga Allah merahmatinya. Dia meninggalkan khalwat di dalam rumah menara yang dijaga, di bahagian timur Tunis dipinggir pantai, dan dia memasuki ar-Rabita ditengah-tengah liang kubur, berhampiran dengan menara itu, pada bahagian yang hampir dengan pintu. Ia dikaitkan dengan al-Khidr.

Saya bertanya kepadanya mengenai hal tersebut dan dia berkata, "Aku lebih menemui hatiku di sana daripada di dalam menara". Saya juga mengalami di sana apa yang Syeikh itu katakan.

Para wali mengetahui bahawa, lantaran seseorang yang mendiami sesuatu tempat, samada yang berkedudukan sebagai malaikat yang mulia atau jin yang ikhlas, atau ia lantaran himmah seseorang yang pernah mengunjungi atau mendiami tempat tersebut - seperti rumah Abu Yazid yang dipanggil "Rumah orang salih", atau zawiyya al-Junayd di Shuniziyya, atau gua Ibn Adham di Yaqin dan lain-lain tempat, sekalipun orang-orang salih yang berkenaan telah meninggalkan dunia ini namun, kesannya masih kedapatan di tempat berkenaan dan ia mempengaruhi hati nurani.

Inilah sebabnya mengapa masjid-masjid memberi kesan yang berbeza-beza kepada hati, tetapi tidak dari segi pahalanya. Kamu lebih menemui hati kamu di masjid tertentu tetapi tidak di masjid lain. Ini bukanlah kerana bumi, tetapi kerana kumpulan jemaah dan keberkatan mereka. Orang yang tidak mendapati perbezaan pada hatinya di antara di masjid dan di pasar hanya memiliki suasana tetapi tidak memiliki makam.

Saya tidak ragui, melalui penyingkapan dan pengetahuan, sekiranya para malaikat dengan pangkat yang berbeza-beza mendiami bumi ini, yang paling tinggi kedudukan mereka dalam ilmu dan makrifat akan mendiami Masjid al-Haram. Keadaan kamu menurut mereka yang kamu jadikan sahabat.

Himmah mereka yang dalam satu kumpulan memberi kesan kepada orang yang duduk bersama kumpulan tersebut dan himmah mereka adalah menurut pangkat mereka. Jika persaingan didasarkan kepada himmah, maka 124,000 Nabi-nabi, tidak termasuk aulia, telah tawaf Rumah yang suci itu. Tidak ada Nabi atau wali yang tidak ada himmah dengan Rumah ini.

Kota ini adalah kota suci kerana ia adalah Rumah yang Allah pilih di atas rumah-rumah yang lain. Ia memiliki rahsia sebagai tempat yang pertama dijadikan tempat beribadat seperti Allah katakan,"Rumah pertama yang didirikan buat umat manusia adalah yang di Bakka, tempat yang dirahmati, dan petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat tanda-tanda yang jelas - makam Ibrahim, dan sesiapa memasukinya menjadi aman" (3:97)
daripada segala ketakutan.

Banyak lagi ayat-ayat yang lain. Jika orang yang bersih berjalan ke kota suci ini, dia akan mengalami makrifat dan peningkatan yang belum pernah dia saksikan sebelumnya dan tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Diri akan dikumpulkan dalam bentuk ilmunya sementara tubuh akan dikumpulkan dalam bentuk amalannya. Bentuk ilmu dan amalan lebih lengkap di Makkah berbanding dengan tempat-tempat lain. Jika seseorang yang mempunyai hati yang terbuka memasukinya untuk satu jam sahaja, dia akan memperolehi yang demikian. Jadi, betapa banyak yang akan diperolehinya jika dia berada hampir dengannya dan mendiami di sana dan melaksanakan segala tuntutan dan peraturannya?

Tidak diragukan bahawa penyaksiannya di sana lebih lengkap dan luhur, dan apa yang dikurniakan kepadanya lebih murni, lazat dan menggembirakan. Sahabatku memberitahuku bahawa dia merasakan penambahan dan pengurangan menurut tempat, dan dia tahu bahawa suasana yang demikian juga muncul daripada keadaan orang yang tinggal di sana atau himmahnya seperti yang telah dinyatakan.

Kami tidak meragui kaedah ini, iaitu perakuan terhadap tempat dan daya-rasa yang bertambah dan berkurang muncul daripada kesempurnaan ahli makrifat dalam mengenal, dan ketinggian makam serta kedudukannya daripada yang lain, dan juga kekuatan kearifannya. Semoga Allah menuliskan kebaikan untuk wali tersebut dan mengurniakan kepadanya segala kebaikan lantaran dia telah mendapatkannya dan layak untuk yang demikian.

[Nama-nama Yang Indah dan hakikat kewujudan]

Ketahuilah, semoga Allah memngurniakan kejayaan kepada kita semua, sekalian orang Islam! bahawa kebanyakan mereka yang mengenali Allah dari kalangan mereka ahli kasyaf dan ahli hakikat, tidak memiliki pengetahuan tentang sebab permulaan alam maya melainkan sekadar hubungan Azali dengan keadaannya yang dibawa kepada kewujudan.

Allah kurniakan kepada makhluk-Nya apa yang Dia ketahui wajar bagi makhluk-Nya. Di sini, kebanyakan manusia berhenti. Kami, dan mereka yang Allah perkenalkan apa yang Dia perkenalkan kepada kami, telah mencapai hal yang lain. Ini ialah bila kamu perhatikan kepada alam maya secara terperinci dengan kebenaran dan anggarannya, kamu dapati ia terhad dengan peringkat dan tahap yang diketahui, dan golongan yang terbatas dengan benda-benda yang serupa dan tidak serupa.

Jika kamu faham perkara ini, kamu ketahui bahawa ia mempunyai rahsia yang seni dan perkara yang ajaib di mana hakikatnya tidak dapat disaksikan dengan jelas melalui fikiran dan penyelidikan. Sebaliknya, ia adalah satu daripada ilmu diberikan melalui kasyaf dan hasil daripada mujahadah yang disertai oleh himmah (semangat yang tinggi).

Mujahadah tanpa himmah tidak menghasilkan apa-apa, tidak juga memberi kesan kepada ilmu, tetapi ia memberi kesan kepada keelokan dan kesucian yang dirasai oleh orang bermujahadah itu.

Ketahuilah, semoga Allah mengajarkan kepada kamu rahsia pengertian dan mengurniakan kepada kamu semua perkataan! bahawa Nama-nama Yang Indah, yang di atas daripada nama-nama yang boleh dihitung dan membawa turun kebahagiaan di bawah nama-nama yang dihitung itu, mempunyai kesan kepada alam maya. Mereka adalah ‘kunci-kunci pertama' yang hanya Dia mengetahuinya.

Setiap yang nyata dalam kewujudan memiliki salah satu daripada nama-nama yang khusus baginya. Yang nyata yang dimaksudkan ialah yang mengumpulkan bersama golongan daripada perkara-perkara yang nyata tersebut. Tuhan bagi hakikat tersebut ialah nama dan hakikat itu adalah hamba-Nya dan di bawah penguasaan-Nya. Hanya itu sahaja.

Jika sesuatu mengumpulkan beberapa nama bagi kamu, perkara itu bukanlah seperti yang kamu bayangkan. Kamu perhatikan kepada benda itu, kamu dapati ia mempunyai ciri-ciri yang bersesuaian dengan apa yang ditunjukkan oleh nama berkenaan, iaitu hakikat yang kami nyatakan. Itu adalah seperti apa yang telah diperakukan bagi kamu di dalam ilmu yang di dalam akal luaran dan di bawah penguasaannya menurut keadaan sesuatu yang satu dan tidak boleh dipecahkan - seberti anasir yang satu (jauhar) yang merupakan bahagian yang tidak boleh dipecahkan. Sekalipun demikian, jauhar ini mengandungi berbagai-bagai hakikat yang memerlukan sebanyak itu juga Nama-nama Ilahi. Hakikatnya ia dibawa kepada kewujudan dengan memerlukan nama Yang Maha Berkuasa.

Dalam aspek kerapiannya ia memerlukan nama Yang Maha Mengetahui. Dalam aspek kuasa memilih ia memerlukan nama Yang Membentuk. Dalam aspek yang membawanya menjadi nyata ia memerlukan nama Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Melihat, dan lain-lain. Walaupun bahan ini adalah satu, ia mempunyai aspek-aspek ini dan aspek yang lain yang kami tidak nyatakan.

Setiap aspek mempunyai banyak aspek yang memerlukan nama yang berpadanan. Aspek-aspek itu adalah hakikat dan mereka bukanlah yang utama pada pandangan kami dan ianya sukar untuk memegangnya dan lebih sukar untuk memperolehinya melalui kasyaf.

[Wadah Nama-nama Ilahi]

Ketahuilah kami tidak akan menyentuh Nama-nama dengan kepelbagaiannya bila kami melihat kepada aspek yang diperlukan oleh makhluk di dalam alam. Bila kita tidak melihat kepada yang tersebut, kita melihat wadah yang dituntut oleh ilmu yang diperlukan dan kami mendapati bahawa Nama-nama yang menjadi wadah yang mereka berdiri di atasnya adalah juga wadah bagi Nama-nama itu.

Jadi, ia mudah untuk diperhatikan, melengkapkan tujuannya dan ia mudah untuk pergi melepasi wadah-wadah ini kepada cabang-cabangnya, sebagaimana mudah untuk kembali daripada cabang kepada wadah itu. Jika kamu perhatikan kepada semua Nama-nama yang diketahui di bumi dan di langit, kamu akan dapati tujuh nama ditujukan kepada Sifat-sifat oleh mereka yang mengetahui ilmu Kalam yang membicarakan mengenainya. Kami telah bincangkan perkara ini dalam buku kami bertajuk Insha' ad-Dawa'ir.

Matlamat kami dalam buku ini bukanlah tujuh wadah yang dirujukkan kepada Sifat ini, tetapi tujuan kami ialah wadah-wadah yang perlu bagi membawa alam ini kepada kewujudan yang nyata. Sama juga, kami tidak memerlukan pembuktian akal tentang Yang Haq melebihi kenyataan bahawa Dia wujud, mengetahui, berkuasa, mencipta, hidup.

Tidak ada yang lain diperlukan. Tidak ada yang lebih daripada ini dipertanggungjawabkan. Rasulullah s.a.w telah membuat kita mengakui bahawa Dia Berkata-kata. Fardu membuat kita mengakui bahawa Dia mendengar, melihat dan seterusnya sebagaimana dinamakan.

Apa yang kita perlukan di sini untuk mengenali nama-nama adalah bagi kewujudan alam maya ini. Nama-nama ini adalah Tuan bagi Nama-nama dan semua nama-nama lain adalah di bawah jagaan mereka seperti mana sebahagian daripada tuan-tuan ini menjaga sebahagian yang lain.

Wadah bagi Nama-nama Ilahi adalah: Yang Hidup, Yang Mengetahui, Yang Berkehendak, Yang Berkata-kata, Yang Pemurah, Yang Adil. Ini adalah cabang bagi dua Nama Ilahi: Yang Mentadbir dan Yang Membahagikan. Yang Hidup menentukan kefahaman kamu selepas dan sebelum kamu wujud. Yang Mengetahui menentukan keteguhan kamu pada wujud kamu, dan sebelum wujud kamu menentukan ketetapan kamu. Yang Berkehendak menentukan pilihan kamu. Yang Berkuasa menentukan ketidakwujudan kamu. Yang Berkat-kata menentukan keabadian kamu. Yang Pemurah menentukan kedudukan kamu yang dibawa kepada kewujudan. Yang Adil menentukan pangkat atau kedudukan kamu. Pangkat atau kedudukan adalah yang terakhir bagi peringkat kewujudan.

Hakikat-hakikat ini mesti wujud, dan nama-nama mereka yang menjadi Tuan-tuan adalah juga perlu. Yang Hidup adalah Tuan kepada Tuan-tuan dan rakyat. Ia adalah Penghulu atau Imam. Yang kedua kedudukannya ialah Yang Mengetahui, kemudian Yang Berkehendak, kemudian Yang Berkata-kata, kemudian Yang Berkuasa, kemudian Yang Pemurah, dan yang akhirnya Yang Adil. Ia adalah Tuan kepada segala pangkat atau kedudukan dan peringkat kewujudan yang terakhir. Baki nama-nama yang lain adalah di bawah kekuasaan Penghulu-Tuan-tuan.

[Penghulu (Imam) kepada Nama-nama Ilahi]

Nama-nama tersebut menyerahkan Nama-nama yang selebihnya dengan hakikat-hakikat mereka kepada nama Allah dalam membawa alam maya kepada kewujudan. Menurut kenyataan bahawa Imam-imam kepada nama-nama, tanpa mengambil kira alam maya, hanyalah empat - Yang Hidup, Yang Berkata-kata, Yang Mendengar dan Yang Melihat - bila Allah mendengar tutur-kata-Nya dan melihat Zat Diri-Nya, Wujud-Nya adalah sempurna dalam Zat-Nya (tanpa mengambil kira alam maya).

Kami hanya maksudkan nama-nama yang dengannya alam maya didirikan. Kami mempunyai banyak nama-nama, jadi kami serahkan kepada tuan mereka dan datang kepada mereka dalam kehadiran mereka dan hanya menemui apa yang telah kami nyatakan. Kami sampaikan menurut apa yang kami saksikan. Jadi, inilah sebabnya tuan-tuan kepada nama-nama itu menyerahkan nama-nama yang lain kepada Allah bila asal usul kita dibawa kepada kewujudan.

Yang pertama mengadakan tuntutan terhadap alam maya ini ialah Nama Ilahi, Yang Mentadbir (al-Mudabbir) dan Nama Ilahi, Yang Membahagikan (al-Mufassil) diatas kehendak nama Raja.

Kemudian dua nama ini menghadap kepada benda-benda yang daripadanya misal wujud dalam alam maya ini sendiri tanpa ia terlebih dahulu tidak-wujud, tetapi lebih tepat daripada peringkat yang terdahulu, bukan kewujudan yang terdahulu - seperti terbit matahari mendahului permulaan siang. Sekalipun kita hubungkan permulaan siang dengan terbitnya matahari, ia adalah jelas bahawa sebab bagi kemunculan siang ialah terbitnya matahari yang menemaninya dalam kemunculannya. Beginilah duduk perkaranya.

Kemudian dua Nama Ilahi ini mentadbirkan alam maya ini dan membahagikannya tanpa didahului oleh kejahilan mengenainya ataupun kurang pengetahuan mengenainya. Jadi, bentuk yang digubah itu muncul di dalam alam maya itu sendiri. Kemudian, Nama-Nya, Yang Mengetahui, dihubungkan kepada model (misal) tersebut sebagaimana ia dihubungkan kepada bentuk yang daripadanya diambil, walaupun jika ianya tidak dilihat kerana ia tidak wujud seperti yang akan dinyatakan dalam tajuk ini. "Daripada apakah alam maya ini wujud?"

[Permulaan nama-nama bagi alam maya]

Permulaan nama-nama bagi alam maya ialah dua Nama Ilahi ini: Yang Mentadbir dan Yang Membahagi. Nama Yang Mentadbir ialah yang merealisasikan masa yang ditentukan untuk membawa kepada kewujudan. Nama Yang Berkehendak berhubung dengannya menurut kadar yang Yang Mentadbir membawanya keluar dan mentadbirnya. Kedua-dua nama ini tidak melakukan apa-apa dalam penciptaan misal ini tanpa penyertaan nama-nama yang lain, tetapi daripada belakang tirai dua nama ini.

Jadi kedudukan sebagai Penghulu adalah wajar buat mereka, sementara yang lain tidak menyedarinya sehinggalah bentuk misal (model) muncul. Kemudian mereka menyaksikan di dalam hakikat-hakikat ianya bersesuaian dengan mereka, dan yang demikian menerbitkan rasa kasih terhadapnya. Jadi setiap nama melahirkan rasa kasih pada hakikatnya yang wujud dalam Misal itu, tetapi ia tidak dapat memperolehi sebarang kesan dalamnya kerana ia tidak dibenarkan oleh kehadiran yang misal ini menyatakan dirinya.

Oleh itu, cinta dan kasih itu membawa mereka kepada pencarian, usaha yang gigih dan keinginan untuk membawa bentuk itu kepada kewujudan supaya kuasa mereka boleh menyata dan kewujudan mereka menjadi sah dalam kenyataan. Tidak ada yang memiliki himmah yang lebih tinggi daripada yang berkuasa yang tidak mendapati seseorang yang berkuasa untuk dikuasai dan meletakkannya di bawah kekuatannya agar kekuasaan kekuatannya akan menjadi sah - atau seseorang yang kaya yang tidak menemui seseorang yang yang memerlukan hartanya! Ia sama dengan semua nama-nama ini.

Jadi, nama-nama yang lain berlindung di bawah Tuan mereka, Penghulu Yang Tujuh yang telah dinyatakan, memohon mereka membawa sumber misal ini yang mereka lihat pada zat seseorang yang mengetahui kepada kewujudan. Inilah yang ditunjukkan sebagai alam maya.

[Nama-nama Ilahi berada dalam kesatuan berhubung dengan Zat, berpisah berhubung dengan 'ada-hubungan']

Ada orang yang mungkin bertanya, "Wahai yang mengenal! Bagaimanakah Nama-nama Ilahi yang lain melihat misal ini sedangkan kenyataannya hanya Yang Melihat melihatnya dan setiap Nama Ilahi memiliki hakikat yang nama lain tidak miliki?" Kita boleh menjawabnya. Semoga Allah kurniakan kejayaan kepada kamu! Kamu patut tahu bahawa setiap Nama Ilahi mengandungi semua Nama-nama Ilahi dan setiap nama digambarkan oleh semua nama pada ufuknya.

Setiap nama itu hidup, berkuasa, mendengar, melihat, berkata-kata dalam ufuknya dan dalam pengetahuannya. Jika tidak bagaimanakah setiap Nama Ilahi menjadi Tuan kepada sesuatu yang berkhidmat kepadanya? Sungguh tidak munasabah! Betapa jauhnya daripada kesan yang nyata!

Walau bagaimanapun, di sana ada petunjuk seni yang kebanyakan orang tidak menyedarinya. Ia adalah bahawa kamu mengetahui dengan yakin yang setiap biji gandum atau yang seumpamanya mengandungi hakikat yang tidak dimiliki oleh saudaranya, sebagaimana kamu tahu yang benih ini tidak sama dengan benih yang lain, walaupun mereka memiliki hal yang sama ataupun mereka serupa. Jadi carilah kenyataan atau hakikat ini yang membuatkan kamu membezakan dua benih tersebut dan mengatakan, " Yang ini tidak sama dengan yang itu".

Hal ini benar bagi semua perkara yang serupa dalam hal yang menyerupakan mereka itu. Ia juga sama dengan Nama-nama Ilahi: setiap nama mempunyai hakikat yang nama itu kandungkan. Kemudian kamu ketahui nama ini bukanlah nama yang lain secara nilai seni (latifah) yang kamu gunakan bagi membezakan biji-biji gandum dan setiap yang serupa. Jadi, carilah makna ini sehingga kamu mengenalinya melalui zikir, bukan melalui renungan.

Walau bagaimanapun, saya ingin membawakan kepada kamu tentang hakikat yang tidak dibentangkan oleh sesiapapun sebelum ini. Boleh jadi ianya tidak dibukakan atau diperjelaskan dan saya tidak tahu samada ianya akan diberikan kepada sesiapa sesudah saya atau tidak daripada kehadiran yang memberikannya kepada saya. Jika ianya dibaca dan difahami melalui buku saya, maka saya adalah yang pertama mengajar mengenainya sementara mereka yang terdahulu tidak menemuinya. Ianya ialah Nama-nama Ilahi, seperti yang kami nyatakan, mengandungi hakikat bagi nama-nama tersebut sementara latifah ini wujud yang memberikan kepada kamu perbezaan di antara dua benda yang serupa.

Bagi nama Yang Pengampun dan Yang Menghukum, iaitu Yang Zahir dan Yang Batin, setiap nama ini mengandungi apa yang dikandungi oleh penjaga-penjaganya, daripada permulaannya hingga ke akhirnya. Walau bagaimanapun, Tuan bagi Nama-nama tersebut dan nama-nama yang lain ada tiga martabat. Sebahagiannya berhubung dengan darjat Tuan Nama-nama tersebut, sebahagiannya memiliki darjatnya sendiri, sebahagiannya dihubungkan dengan darjat Yang Memberi Rahmat, sebahagiannya dihubungkan kepada darjat Yang Memberi Hukuman. Nama-nama ini adalah nama-nama alam maya yang dihitungkan, dan Allah jualah Penolong!

[Nama Allah Yang Teragung]

Kemudian semua nama-nama merujuk kembali kepada Penghulu-penghulu dan Penghulu-penghulu merujuk kembali kepada nama Allah dan nama Allah merujuk pula kepada Zat kerana ia merdeka daripada nama-nama, dan memohon bantuan dalam apa yang dipinta oleh nama-nama tersebut. Jadi, "Yang Pemurah, Yang Penyayang" mengabulkannya dan berkata, "Berbicaralah dengan Penghulu-penghulu yang berhubung dengan urusan membawa alam kepada kenyataan menurut hakikat-hakikat mereka." Nama Allah keluar kepada mereka dan mengkhabarkan kepada mereka berita tersebut dan mereka sukacita, gembira dan ceria dan mereka masih demikian.

Mereka memandang kepada kehadiran yang dinyatakan dalam Tajuk Enam dan membawa alam maya kepada kewujudan yang nyata sebagaimana yang kami akan nyatakan dalam tajuk berikutnya, Insya' Allah. "Allah mengatakan yang benar dan memimpin kepada jalan yang lurus" (33:4)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan